Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Bahagian Penyelidikannya kini sedang berhubung rapat dengan Urus Setia Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi menyiasat dan meneliti penganjuran konsert artis antarabangsa, The Weeknd, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Langkah tersebut diambil susulan kebimbangan awam serta dakwaan mengenai unsur persembahan yang dikhuatiri menyentuh aspek akidah dan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman media sosial JAKIM, penelitian bersama PUSPAL itu bertujuan mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan, di samping menilai tahap pematuhan penganjur terhadap syarat serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi artis luar negara.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan bertentangan dengan agama.

Justeru, semua pihak termasuk penganjur konsert dan penggiat seni diingatkan agar memastikan pengisian persembahan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan berhubung akidah, akhlak, mahupun mencemar kesucian agama di Malaysia.

Pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan tindakan tegas berlandaskan peruntukan undang-undang dan fakta yang sahih akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran syarat.

Sumber