Cuba tanya mak ayah sekarang, mereka ada simpanan ASB berapa? KWSP pula siapa penama?
Kalau tiba-tiba perlu cari dokumen penting berkaitan harta, agaknya kita tahu tak nak mula dari mana?
Jangan terkejut kalau jawapannya sekadar senyuman atau ayat keramat, “Nanti mak cari.”
Kita mungkin tahu hampir semua perkara tentang kehidupan ibu bapa, tetapi bab aset, simpanan dan dokumen kewangan selalunya masih menjadi tanda tanya.
Sedangkan, maklumat ini sangat penting apabila keluarga perlu menguruskan harta pusaka.
Menyedari perkara tersebut, WarisSafe tampil sebagai platform digital Malaysia yang membantu keluarga Muslim menyusun maklumat harta, hutang dan waris dalam satu tempat.
Tak perlu pening kepala nak mula dari mana

Dibangunkan oleh Ahmad Zahari, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Waris Safe Technology, idea WarisSafe sebenarnya bermula daripada pengalaman sendiri apabila urusan harta pusaka seorang ahli keluarga terdekatnya mengambil masa lebih tiga tahun untuk diselesaikan.
Pengalaman berdepan pemfailan mahkamah, pertikaian harta yang tidak direkodkan dan kekeliruan tentang hak waris mendorong beliau membangunkan platform yang boleh membantu keluarga membuat persediaan lebih awal.
Cara menggunakan WarisSafe juga mudah. Pengguna hanya perlu melalui tiga langkah utama:
1. Senaraikan aset dan hutang: Rekodkan akaun bank, ASB, KWSP, Tabung Haji, takaful, hartanah, kenderaan serta hutang yang masih ada.
2. Masukkan maklumat waris: Tambahkan maklumat ahli keluarga yang berkaitan.
3. Semak anggaran faraid: Lihat gambaran awal pembahagian harta mengikut hukum faraid.
Pengiraan faraid dalam platform ini menggunakan pendekatan Mazhab Syafie dan merujuk sumber terbitan termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Pengguna juga boleh mendapatkan panduan berkaitan pilihan perancangan seperti wasiat, hibah takaful dan pemegang amanah mengikut keadaan masing-masing.
Walau bagaimanapun, pengiraan yang dipaparkan hanyalah anggaran untuk tujuan perancangan. Pembahagian rasmi tetap perlu melalui proses berkaitan dan Sijil Faraid daripada Mahkamah Syariah.
Penama KWSP tak semestinya pemilik duit

Satu lagi perkara yang mungkin ramai terlepas pandang ialah fungsi penama KWSP bagi ahli beragama Islam.
Ada yang menyangka apabila nama seseorang sudah didaftarkan sebagai penama, wang simpanan itu secara automatik menjadi miliknya.
Hakikatnya, penama KWSP Muslim secara umumnya bertindak sebagai pentadbir atau wasi yang bertanggungjawab menguruskan wang berkenaan untuk diagihkan mengikut faraid.
Sebab itulah penting untuk memahami hak dan tanggungjawab setiap waris, bukan sekadar meletakkan nama seseorang dalam borang penamaan.
Maklumat kewangan turut dijaga

Memandangkan WarisSafe menyimpan maklumat peribadi dan kewangan, aspek keselamatan turut diberi perhatian.
Menurut pihak WarisSafe, data pengguna dilindungi menggunakan penyulitan AES-256, manakala sistem log masuk menggunakan kod sekali guna tanpa memerlukan kata laluan.
Akses kepada peti pusaka digital juga hanya dibenarkan selepas waris melalui tempoh pengesahan selama 48 jam.
Platform ini turut menyatakan bahawa ia mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), tidak memaparkan iklan dan tidak menjual data pengguna.
Cuma, perlu difahami bahawa WarisSafe bukan firma guaman atau syarikat amanah. Platform ini tidak menyediakan dokumen wasiat atau hibah, sebaliknya membantu pengguna menyusun maklumat sebelum mendapatkan khidmat profesional.
Pengguna yang memerlukan bantuan lanjut boleh merujuk direktori firma guaman syarie dalam platform tersebut tanpa dikenakan caj oleh WarisSafe.
Boleh cuba kalkulator faraid secara percuma
Kalau masih belum bersedia untuk menggunakan semua fungsi platform, anda boleh mulakan dengan kalkulator faraid percuma di sini tanpa perlu mendaftar akaun.
WarisSafe turut menawarkan pelan Asas percuma yang membolehkan pengguna merekodkan dua aset, dua hutang dan tiga waris.
Untuk akses lebih menyeluruh, pelan Kelab Pengasas ditawarkan pada harga RM90 setahun tanpa pembaharuan automatik, manakala akses seumur hidup boleh diperoleh dengan bayaran sekali sebanyak RM280.
Buat masa ini, platform tersebut boleh digunakan melalui pelayar web di telefon atau komputer, sementara aplikasi Android dan iOS masih dalam perancangan.
Akhirnya, merancang harta bukan bermaksud kita terlalu memikirkan perkara buruk. Sebaliknya, ia tentang memastikan keluarga tidak perlu bermain teka-teki mencari dokumen, akaun atau maklumat penting ketika berdepan situasi sukar.
Jadi, mungkin selepas ini boleh mula dengan satu soalan mudah kepada mak ayah: “Kalau nak cari dokumen penting, mak simpan dekat mana?”
Layari laman sesawang rasmi WarisSafe untuk mengetahui lebih lanjut.