Selepas berbulan-bulan mendiamkan diri daripada memberi penjelasan mengenai hubungan perkahwinan, akhirnya pelakon dan penyanyi veteran terkenal, Datuk ND Lala tampil memberikan penjelasan menerusi tiga video di Instagram peribadinya.

Menurutnya, bekas isterinya tidak bersetuju untuk poligami dan telah banyak kali mengugut beliau untuk bercerai.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Memang benar saya sudah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani. Memang benar bekas isteri saya tidak setuju pada poligami. Memang benar sudah banyak kali bekas isteri saya mengugut, mendesak, meminta saya menceraikannya.

“Hakikatnya, bermula 2 Ogos lalu, perkahwinan kami berakhir. Untuk itu, tiada keperluan lagi untuk bicarakan tentang perkahwinan kerana kami bukan lagi suami isteri,” katanya.

ND Lala turut mengakui melafazkan cerai terhadap Fauziah pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan memfailkan perceraian pada 7 Ogos.

Kemudiannya diikuti dengan pemberian audio kepada Fauziah pada 8 Ogos melalui aplikasi WhatsApp dan seterusnya perceraian mereka disahkan mahkamah pada 5 September lalu.

Dalam pada itu, dalam satu video yang lain ND Lala juga meminta orang ramai berhenti menggelarkan isteri baharunya sebagai penyondol. Ini kerana beliau telah meminta restu bapa Datin Siti Munirah Abd Ghani untuk menikahi wanita itu.

Nd Lala berkata, dia melamar Siti Munirah, sedangkan pada awalnya wanita berusia 33 tahun itu tidak berminat terhadapnya.

“Saya nak ambil kesempatan ini, mohon janganlah gelar atau labelkan Siti Munirah sebagai penyodol. Ini tak benar sama sekali sebab dia tak pernah sondol atau mengurat saya.

“Saya yang mendekatinya. Awal-awalnya, Siti Munirah tak nak, tetapi akhirnya saya pergi minta restu ayahnya.

“Apabila ayahnya bersetuju, maka kami pun bernikah. Jadi, tidak benarlah dia sondol saya.

“Jika sondol saya, kita ada akta yang boleh dibawa ke tengah dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda. Siti Munirah tidak sondol, tetapi saya melamarnya secara sah,” terangnya lagi.

Untuk rekod, ND Lala dan bekas isterinya Fauziah teah mendirikan rumah tangga pada 1989 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.