Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon gesa para pemainnya beraksi dengan lebih berani apabila berdepan negara kelahirannya, Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 hari ini.

Walaupun tidak layak ke pusingan 16 namun aksi menentang pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan tetap penting sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 bulan Mac ini.

Baca Juga:

“Kita tidak rugi apa-apa dalam perlawanan ini. Bergantung kepada prestasi dan situasi kami mungkin mendapat sesuatu untuk persediaan masa depan. Jadi bagi kami, ia sangat penting, kami mempunyai Kelayakan Piala Dunia pada bulan Mac dan Jun.

“Saya sangat mengenali pasukan Korea. Saya tahu mereka cukup kuat dari segi individu.

“Sebagai jurulatih Malaysia, kami mahu berjuang dan menunjukkan sesuatu kepada rakyat Malaysia. Kita perlu memberi mereka sedikit harapan dan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Itu sangat penting. Jangan takut. Bermain dengan berani menentang Korea,” kata Kim Pan Gon ketika sidang media semalam.

Kim Pan Gon
FOTO: AFC

Korea Selatan yang kini berada di kedudukan kedua kumpulan E memerlukan kemenangan besar ke atas Malaysia untuk mara ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan.

Mereka dijangka akan menurunkan barisan terkuat yang terdiri daripada bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung Min, pemain PSG, Lee Kang In dan pertahanan Bayern Munich, Kim Min Jae.

“Mereka sebuah pasukan yang bagus. Saya menjangkakan mereka akan ke final.

“Secara dalaman, kami telah bersedia untuk menyerang titik kelemahan mereka. Namun bukan tugas mudah kerana mereka adalah salah satu pasukan pilihan,” tambah Kim Pan Gon.