Pasangan Pearly Tan-M. Thinaah mengorak langkah dengan penuh meyakinkan untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Japan Masters 2023 yang sedang berlangsung di Kumamoto, Jepun.

Gandingan yang kini berada di ranking ke-13 dunia itu berjaya menyerap tekanan wakil tuan rumah itu untuk menang ‘straight set’ 21-17, 21-16.

Baca Juga:

Menanti Pearly dan Thinaah di suku akhir esok ialah satu lagi pasangan dari Jepun iaitu Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang menewaskan gandingan Chinese Taipei, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui.

Langkah itu bagaimanapun gagal dijejaki Ng Tze Yong selepas beliau tewas ditangan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Perseorangan kedua negara itu bagaimanapun cemerlang peringkat permulaan sehingga membolehkan beliau mencuri set pertama dengan kemenangan 22-20.

Tersentak dengan kekalahan itu, Axelsen tampil dengan lebih garang pada set kedua dan meraih kemenangan mudah 21-11 untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Corak permainan menarik kembali ditampilkan kedua-dua pemain yang saling berkejar-kejaran mata untuk memimpin perlawanan.

Pengalaman luas jelas menjadi kelebihan buat Axelsen untuk mengesahkan kemenangan 21-18 bagi menempah aksi suku akhir menentang pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Sama seperti Axelsen, laluan berliku turut dihadapi Christie apabila beliau terpaksa beraksi hingga ke set ketiga ketika bertemu pemain bukan pilihan dari Chinese Taipei, Su Li Yang 19-21, 21-11, 22-20.

Dua lagi wakil negara akan turut beraksi sebentar lagi dalam acara beregu lelaki apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bertemu Pharanyu Kaosamaang-Woorapol Thongsa-nga.