Ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy menyifatkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak bersedia untuk dijadikan sebagai medan perlawanan menentang Malaysia pada 26 Mac ini.

Malaysia akan menjamu Oman dalam saingan pusingan kedua peringkat kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan sekali lagi padang SNBJ menjadi persoalan ramai pihak.

Baca Juga:

Ketika sidang media, Silhavy berkata pemain tidak sesuai beraksi di padang Stadium Bukit Jalil kerana hujan sering melanda negara kebelakangan ini.

“Malangnya kami diberitahu yang cuaca Malaysia sekarang banyak hujan. Kami percaya yang padang tidak akan bersedia untuk perlawanan dan tidak baik untuk perlawanan. Secara fizikal dan teknikalnya, pemain tidak sesuai untuk bermain di situ.

“Semalam (Ahad) pun kami diberitahu yang kami tidak akan berlatih di padang Bukit Jalil kerana keadaannya tidak bagus untuk latihan. Pasukan Malaysia juga tidak boleh berlatih di sana. Ia memang tak bagus untuk kedua-dua pihak,” kata Jaroslav Silhavy ketika sidang media di Wisma FAM pada Isnin.

Keadaan terkini padang SNBJ akhirnya terdedah kepada umum apabila terdapat video di laman Youtube yang diambil menerusi rakaman dron semalam (23 Mac 2024) sekitar 12 tengahari.

Pemilik akaun YouTube tersebut telah menerbangkan dron untuk meninjau perkembangan terkini venue berkenaan selepas video beliau yang memaparkan keadaan padang SNBJ beberapa hari lalu menjadi tular di media sosial.

Keadaan terkini padang SNBJ yang dirakam pada 23 Mac 2024

Video yang dirakam pada 12 Mac 2024 telah menampakkan keadaan padang yang cukup teruk selepas dilanyak konsert Ed Sheeran bulan lepas sekaligus dikecam hebat oleh pelbagai pihak.

Rakaman Dron pada 12 Mac 2024

Namun, terdapat perbezaan pada keadaan padang terkini yang dirakam semalam apabila beberapa bahagian yang terdedah mula menghijau selepas ditanam rumput jenis Zeon Zoysia itu walaupun masih kelihatan pasir di sekitarnya.

SNBJ
Keadaan terkini padang SNBJ yang dirakam pada 23 Mac 2024

Meskipun padang mungkin kelihatan tidak begitu sempurna, sokongan padu para penyokong setia tetap ditagih oleh Harimau Malaya dalam misi untuk mencapai kemenangan.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu tekad bangkit membalas dendam terhadap kekalahan 0-2 di Muscat pada jumaat lepas dengan mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.