Inisiatif pelaksanaan dan pengeluaran MyKad serta Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu dilaporkan berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan bahawa semua permohonan baharu buat masa ini akan terus menggunakan baki stok dokumen sedia ada, petik Harian Metro.

Langkah ini diambil memandangkan bekalan dokumen berkenaan masih mencukupi untuk menampung keperluan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

“Saya cuma sebut bahawa kedua-duanya (inisiatif baharu MyKad dan PMA) masih lagi berada di landasan (pelaksanaan). Walaupun kita akan mengeluarkan versi baharu, tetapi tidak bermakna stok yang bertahan dua hingga tiga bulan itu kita kena musnahkan,” jelas beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan menguruskan baki stok MyKad dan PMA sedia ada secara cekap bagi memastikan ia digunakan sepenuhnya sebelum peralihan kepada dokumen versi baharu dilaksanakan.

MyKad Baharu Habiskan Stok Kad Lama Dahulu

Sebagai contoh, permohonan MyKad bagi kanak-kanak yang mencecah usia 12 tahun mencatatkan kadar sekitar 35,000 permohonan sebulan. Kesemua permohonan tersebut akan diproses menggunakan baki stok atau kontrak lama terlebih dahulu sehingga selesai, sebelum inisiatif versi baharu mengambil alih sepenuhnya.

Sebelum ini, KDN mengumumkan bahawa Malaysia bakal memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dengan ciri keselamatan yang lebih canggih, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri negara daripada risiko pemalsuan.

Sumber