Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 telah membuat keputusan melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi, FAM telah menjatuhkan hukuman denda buat JDT berikutan tingkah laku penyokong mereka ketika perlawanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 bertemu Selangor MAC.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Hal ini kerana penyokong JDT telah melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan dan kemudiannya telah mengerumuni, mengejar dan menyerang penyokong pihak lawan sebelum sempat mereka menaiki bas

Selain itu, JDT turut didenda ekoran tindakan seorang penyokong skuad Harimau Selatan memukul penyokong KL City FC pada aksi final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

Sehubungan dengan itu, JDT telah didenda RM15,000 bagi setiap kesalahan serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Bagaimanapun, keputusan tersebut masih boleh dirayu.

Sekiranya JDT didenda atas dua kesalahan, lebih banyak hukuman diterima oleh Selangor ekoran tindakan pemain serta pegawai pasukan mereka.

Paling mencuri tumpuan pastinya melibatkan keputusan terhadap bekas pemain import Selangor, Yazan Mousa Mahmoud Al Arab.

Yazan didapati telah melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kepada Pengadil Perlawanan dan apabila Pengadil Perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 1).

Dan apabila setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 2) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

Sebagai hukumannya, pemain ini digantung empat perlawanan bagi Pertuduhan 1 dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia bagi Pertuduhan 2.

Walau bagaimanapun Jawatankuasa ini telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, Jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan, bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut.

Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi perlanggaran-perlanggaran di atas secara keseluruhannya adalah dihukum penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.

Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

Selain itu, lima pegawai pasukan Selangor turut digantung 10 perlawanan serta didenda RM10,000 (boleh membuat rayuan) atas tindakan provokasi ke atas barisan pengadil ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 bertemu Terengganu di Stadium MBPJ.

Sumber