Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Bahagian Pengurusan Masjid telah memulakan pelaksanaan projek perintis pengebumian jenazah secara kubur bertingkat bagi jenazah yang tidak mempunyai waris di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong.

Menerusi hantaran media sosial JAWI, inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sebagai langkah proaktif dalam mendepani isu kekangan ruang tanah perkuburan Islam di ibu negara.

Pelaksanaan projek ini turut mencatatkan pencapaian penting dalam aspek teknikal pengurusan jenazah menerusi penggunaan mesin takal penurun jenazah.

Jentera mekanikal tersebut merupakan hasil inovasi JKR Kuala Lumpur yang dibangunkan khusus untuk memudahkan pengendalian serta proses menurunkan jenazah ke liang lahad sedalam lapan kaki secara lebih lancar dan selamat.

Bagi menjamin keselamatan petugas dan mengelakkan risiko tanah runtuh sepanjang proses penggalian serta pengebumian, struktur penghadang tanah (trench box) turut dipasang di liang lahad berkenaan.

Proses pengebumian serta demonstrasi penggunaan mesin takal tersebut telah disaksikan sendiri oleh Pengarah JAWI, YBrs. Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, yang turun padang meninjau kelancaran operasi di lokasi berkenaan.

Menurut JAWI, inisiatif kubur bertingkat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam mengoptimumkan kapasiti tanah perkuburan sedia ada di Wilayah Persekutuan.

Selain menjimatkan ruang tanah, penggunaan teknologi mesin takal dan kelengkapan keselamatan terkini berupaya meningkatkan kecekapan pengoperasian serta meringankan beban fizikal para penggali kubur.

Pelaksanaan projek perintis ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada transformasi pengurusan tanah perkuburan Islam secara moden, sistematik dan selamat.

Langkah tersebut sekali gus mencerminkan iltizam berterusan JAWI dalam memastikan setiap fardu kifayah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib dan bermaruah selaras dengan tuntutan syarak.

Sumber