Yang Berhormat Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi, menyeru agar kerajaan mengintergarasikan tulisan Jawi dalam kad pengenalan rakyat Malaysia.

Penggunaan tulisan Jawi itu sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital, petik MalaysiaKini.

Beliau memberikan empat alasan yang membabitkan legasi, sinergi, identiti dan sekuriti.

Legasi

Menurutnya, tulisan Jawi adalah warisan kebangsaan yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan. Tulisan itu perlu diangkat dalam dokumen identiti rasmi negara.

Sinergi

Tulisan Jawi yang dikemaskini dan diintegrasi dalam kad pengenalan fizikal dan digital dapat memberikan nilai tambah dalam hubungan antarabangsa.

Beliau mendakwa Malaysia akan lebih disantuni dan dihormati oleh negara-negara Arab yang lain. Ini kerana Malaysia dianggap sebagai negara Islam dengan identiti tersendiri.

Identiti

Mumtaz berkata ia melibatkan isu perlembagaan. Rakyat diberi hak untuk mengisi borang rasmi dengan tulisan Jawi sama ada secara digital atau fizikal.

“JPN dengan mandat mendaftar kelahiran, kematian, dan merekod serta menyimpan identiti warganegara adalah penjaga tunggal yang wajar mengangkat Jawi dalam dokumen rasmi warganegara.

“Malaysia wajar mengambil langkah lebih ke hadapan untuk memperkukuh identiti rasmi kita,” katanya.

Sekuriti

Beliau turut menyatakan isu keselamatan kad pengenalan boleh terjamin kerana aksara Jawi lebih terhad. Sekaligus ia sukar dimanipulasi berbanding huruf Rumi.

“Dari sudut keselamatan lapisan pertama ( first-tier security), ini kelebihan yang kita tidak boleh abaikan,” kata Mumtaz lagi.