Kad pengenalan MyKad yang lebih dikenali sebagai IC merupakan satu perkara yang wajib dibawa ke mana-mana sahaja. Hal ini kerana bagi memudahkan mengenal pasti jika anda seorang warganegara Malaysia atau bukan.
Menerusi TikTok, seorang pemuda yang dikenali sebagai Jokercho berkongsi kisah silamnya yang ditangkap di sebuah pusat beli-belah di Klang, Selangor dek kerana tidak membawa kad pengenalan bersama.
Baca Juga:
- Sekadar Pamer Kad Pengenalan, Miskin Tegar Berpeluang Membeli Barangan Runcit Sehingga RM600
- Gara-Gara Tak Bawa Kad Pengenalan, Lelaki Ini Didenda RM8,000 Oleh Mahkamah
“Hari ini aku ada nak kongsi pengalaman empat hari masuk lokap sebab tak bawa IC. Dulu masa umur aku 16 tahun, IC aku hilang.
“Jadi, aku mohon kat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mereka bagi IC sementara, sekeping kertas. Waktu tu umur 16, tengah ligat selalu nak berjalan.
“Masa tu nak bawa IC tapi aku takut, makin lama simpan dalam poket, makin ronyok. Jadi, aku simpan kat umah,” ujarnya di awal video.
Menurut pemuda itu, sewaktu tiba di pusat beli-belah berkenaan, dia melihat sekumpulan individu termasuk warga asing ditahan polis.
Dengan bersangka tiada kaitan, dia meneruskan perjalanannya seperti biasa namun tetap diarahkan ke tepi oleh pihak polis.
Malang tidak berbau apabila sebaik pemeriksaan dilakukan itu telah membongkar rahsia yang dia tidak mempunyai sebarang kad pengenalan diri bersamanya.
Susulan penemuan itu, dia telah digari bersama tahanan lain sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.
“Ada polis minta IC, masa tu aku tak bawa IC. Tak banyak cerita, aku kena gari. Member aku lepas sebab dia ada IC. Aku pesan suruh dia beritahu bapa aku.
“Naik trak ramai-ramai pergi balai polis. Masuk tiba-tiba ada orang kenal, orang kampung kat situ. Dia jaga aku dalam itu selama empat hari,” kongsinya lagi.
Selepas ditahan di lokap, pemuda itu berkata dia akhirnya dibicarakan di mahkamah sebelum hakim menjatuhkan penjara sehari atas kesalahannya.
“Hakim cakap, ada apa-apa rayuan ke? Kita budak kan masa tu, aku cakap tuan hakim saya janji saya tak buat lagi, lepas ni pergi ke mana-mana saya bawa IC. Dia ketuk tukul, dia cakap sehari penjara.
“Orang sebelah cakap jangan risau, sehari penjara duduk dalam mahkamah je. Duduk dalam tu, nanti pukul 4 balik. Duduk situ pun menunggu,” ujarnya.
Kisah yang dikongsikan pemuda ini telah membuka mata orang ramai tentang betapa pentingnya membawa MyKad ketika mahu keluar.
Dalam pada itu, dia turut mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan menunjukkan kad pengenalan apabila disoal pihak berkuasa boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara sehari seperti yang dialaminya.
@thejokercho
Setakat ini, perkongsian pemuda itu telah menerima lebih 700,000 jumlah tontonan dan turut dihujani sejumlah komen daripad netizen.
Ramai berterima kasih kepada pemuda itu kerana mengingati tentang keperluan membawa kad pengenalan ketika mahu keluar.