Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai kelab nombor satu di Asia Tenggara menurut ranking yang dikeluarkan oleh laman analisis terkemuka dunia iaitu Opta Analyst baru-baru ini.

Kejayaan menewaskan Ulsan Hyundai dalam saingan peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) baru-baru ini nyata memberi impak besar terhadap kutipan mata kelab dari Selatan tanah air itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam senarai ranking kelab dunia yang dikeluarkan Opta Analyst, JDT mengatasi kelab Thailand iaitu Buriram United yang sebelum ini muncul sebagai kelab terbaik di rantau Asia Tenggara.

Skuad Harimau Selatan menduduki tangga ke-391 dengan kutipan mata sebanyak 74.3 mata sekaligus mengatasi Buriram yang menduduki tangga ke-568 dengan kutipan 72.3 mata.

Ini menjadikan juara 10 kali Liga Super itu sebagai satu-satunya kelab dari Malaysia yang berada dalam top 500 dalam ranking tersebut.

Di peringkat Asia, skuad kendalian Esteban Solari itu menghuni tangga ke-22 sekaligus mengatasi beberapa kelab ternama di rantau ini seperti Cerezo Osaka (23), FC Seoul (28), Al-Ittifaq (31) dan Melbourne City (39).

Tiga kelab dari Saudi Pro League (SPL) menguasai tiga tangga teratas bagi ranking peringkat Asia dimana Al-Hilal berada di tangga pertama diikuti Al-Nassr di tangga kedua dan Al-Ittihad di tangga ketiga.

Ranking ini akan berubah mengikut keputusan yang diraih oleh semua kelab baik dalam saingan liga domestik ataupun perlawanan peringkat antarabangsa.