Susulan sebahagian besar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan Malaysia, kelab tersebut telah mengambil keputusan untuk melepaskan pemain-pemain mereka dengan lebih awal berbanding kebiasaan.

Menurut sumber kenyataan dikeluarkan JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, JDT mengambil inisiatif terpuji untuk melepaskan pemain mereka yang terpilih tujuh hari lebih awal sebelum perlawanan pertama mengikut kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.

“Kebanyakan skuad kebangsaan di seluruh dunia hanya memanggil pemain mereka semasa jendela perlawanan yang disediakan oleh FIFA, tetapi JDT telah bersetuju untuk menggunakan budi bicara kami dalam melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama.”

“Sebagai contoh, jendela FIFA seterusnya adalah dari 18 Mac hingga 26 Mac. Malaysia dijadualkan bermain kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada 22 Mac, dan JDT akan melepaskan pemain kami seawal 15 Mac. Dalam peraturan bola sepak, kelab hanya perlu melepaskan pemain pada 18 Mac.

“Memandangkan sebahagian besar pemain utama skuad Malaysia adalah daripada JDT, kami percaya pemain JDT yang dipanggil ke pasukan kebangsaan akan dapat membina persefahaman dan kecergasan melalui latihan berintensiti tinggi dan kemudahan fasiliti bertaraf dunia kami di Pusat Latihan JDT,” ujar kelab tersebut menerusi kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alistair Edwards.

Sesi latihan pusat pertama selepas berakhirnya Piala Asia 2023 yang bakal bermula 8 Mac ini menyaksikan sembilan pemain JDT telah terpilih dimana enam lagi pemain berada di senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan terutamanya melibatkan kecederaan.