Pengendali baharu skuad kebangsaan Jerman, Jurgen Klopp, mengakui pasukannya belum berada pada tahap kuasa besar bola sepak dunia seperti Perancis, namun tetap percaya Die Mannschaft mampu menewaskan mana-mana lawan menerusi corak permainan yang tepat.
Menurut Klopp, ramai di Jerman sering bertanya sama ada pasukan mereka memiliki kualiti setanding Perancis, namun beliau menegaskan perbandingan itu tidak wajar dibuat.
“Apabila kita bertanya di Jerman, adakah kita sebagus Perancis?
“Jawapannya bukan sekadar ya atau tidak.
“Soalan yang lebih tepat ialah, adakah kita mempunyai pemain seperti Ousmane Dembele, Kylian Mbappe, Desire Doue atau Bradley Barcola?
“Jawapannya tidak. Tetapi kita masih boleh menewaskan mereka.”
Bekas pengurus Liverpool itu berkata, Jerman tidak sepatutnya terlalu obses mengejar standard pasukan seperti Perancis, Sepanyol atau Argentina.
“Apa yang paling penting bukan melihat Perancis, Sepanyol atau Argentina. Perkara paling penting ialah melihat diri kita sendiri dan bagaimana kita mahu bermain bola sepak.”
Klopp turut mengakui Jerman bukan lagi pasukan nombor satu dunia ketika ini, malah terdapat 11 negara yang berada di hadapan mereka dalam ranking dunia.
Namun beliau percaya jurang itu boleh dirapatkan melalui identiti permainan yang jelas dan konsisten.
“Memang benar kami bukan pasukan nombor satu dunia sekarang. Terdapat 11 negara di hadapan kami dalam ranking, tetapi tugas kami ialah memastikan kami mampu menewaskan mereka melalui cara kami bermain bola sepak.”