Individu buruan dunia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low didakwa sedang menetap di sebuah kawasan kejiranan mewah di Shanghai dan menggunakan pasport palsu Australia.
Perkara itu didedahkan oleh wartawan penyiasat, serta penulis buku ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope dan Tom Wright.
Dalam satu siaran langsung di YouTube semalam, kedua-dua mereka memaklumkan bahawa mereka telah mengumpul bukti daripada pelbagai sumber serta dokumen baharu yang ditemui, yang menunjukkan bahawa Low tinggal di sebuah banglo di Green Hills, sebuah kawasan kejiranan ‘teramat mewah’ di Shanghai, China.
Mereka turut menambah bahawa Low menggunakan pasport palsu Australia dengan nama Greek — Constantinos Achilles Veis untuk menyembunyikan identitinya.

Hope dan Wright turut mendakwa bahawa Jho Low kini berperanan sebagai strategis di belakang tabir untuk kerajaan China.
Peranannya dikatakan termasuk membantu syarikat-syarikat dari China yang dikenakan sekatan untuk mengharungi cabaran di seluruh dunia.
Pada bulan Mac lalu, beberapa wartawan penyiasat dan peminat mata wang kripto dilaporkan telah melancarkan sistem ganjaran menggunakan meme coin sebagai usaha terbaru untuk mengesan keberadaan Jho Low.
Hope menjelaskan bahawa sistem ganjaran tersebut, yang menggunakan meme coin bernama $JHOLOW, bertujuan mendapatkan maklumat orang dalam mengenainya.
Ia merupakan satu ujian untuk melihat sama ada nilai sesuatu coin boleh dipacu bukan sahaja oleh spekulasi, tetapi juga oleh nilai maklumat yang berjaya didedahkan.
Maklumat tentang keberadaan Jho Low akan ditapis dan disahkan oleh sekumpulan moderator, dan mereka yang menyalurkan maklumat sahih serta berguna akan diberi ganjaran dalam bentuk token kripto tersebut.
Jumlah ganjaran pula akan berbeza-beza bergantung pada nilai maklumat yang dikongsi.