Di dunia yang serba moden ini, ada seorang lelaki Jepun berusia 45 tahun yang menjadi popular di China dengan kisah hidupnya yang luar biasa.
Menurut laporan South China Morning Post, dengan menggunakan nama dalam talian ‘Lelaki Yang Pasti Akan Berhenti Kerja’, dia berjaya menyimpan sebanyak 135 juta yen (RM4 juta) dalam masa 21 tahun.

Kisah beliau ini telah menarik perhatian ramai dan menjadi inspirasi kepada mereka yang bercita-cita untuk bebas dari sebarang hutang.
Perjalanan lelaki ini bermula pada awal tahun 2000, apabila dia mendapat pekerjaan.
Dengan pendapatan tahunan sebanyak 5,000,000 yen (RM149K), dia memilih untuk hidup secara sederhana dan berjimat cermat.
Tinggal di asrama syarikat dengan bayaran sewa 30,000 yen (RM887) sebulan.
Untuk makanan, dia mengamalkan diet yang sangat teliti.
Menu hariannya hanyalah buah plum masam, sayur masin, dan semangkuk nasi.
Kadang-kadang, makan malamnya hanyalah minuman bertenaga yang diperolehi secara percuma di kedai serbaneka.
Selain itu, dia sering menikmati minuman ringat dan biskut sambil menonton filem yang menceritakan tentang kehidupan di penjara, sambil bergurau bahawa hidupnya tidak ada beza dengan banduan yang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.
Lelaki ini juga menolak untuk menggunakan sebarang peralatan pemanas dan penghawa dingin.
Pada musim panas, dia menyejukkan badan dengan memakai baju basah dan pada musim sejuk, dia memanaskan badan dengan melakukan squatting.
Selepas ketuharnya rosak, dia mula memasak ubi keledek menggunakan haba matahari pada cermin kereta rakan sekerjanya.
Selepas 20 tahun 10 bulan bekerja keras, usahanya akhirnya membuahkan hasil.
Dia mengumumkan di media sosial bahawa dia telah berjaya menyimpan 135 juta yen.
Gaya hidup berjimat cermat ini juga membuatkan dia merasa mahu menulis buku mengenai petua kewangan dengan tujuan untuk membuka jalan kepada sumber pendapatan baru.
Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama.
Nilai yen yang susut sejak awal tahun ini menyebabkan simpanannya menyusut secara mendadak.
“Jika yen terus menyusut, saya tidak akan pernah mencapai impian untuk bebas kewangan. Apa yang saya telah lakukan selama 21 tahun ini, semuanya akan menjadi sia-sia,” katanya dengan penuh kesedihan.
Kisah ini mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang terkejut dengan diet lelaki itu, sementara yang lain berpendapat bahawa kehidupannya sengsara dan dia gagal untuk menikmati kehidupan yang sebenar.