Sebut mengenai Malaysia, pasti ramai yang cukup tahu di mana negara kita sememangnya terkenal dengan perpaduan kaum yang pelbagai serta kaya dengan budaya. Menghimpunkan pelbagai kaum di bawah satu negara sekaligus berjaya mengumpulkan pelbagai seni dan budaya setempat.

1. Festival Seni Hidup

Bagi mengeratkan lagi perpaduan kaum sekaligus membolehkan orang ramai mengenal budaya dan seni sesebuah kaum, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menganjurkan Festival Seni Hidup @ Living Arts Culture Festival (LACF).

Festival yang dianjurkan ini menghimpunkan warisan tidak ketara yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan dan kesenian yang memerlukan perhatian dan kurang ditonjolkan kepada masyarakat.

Bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober 2023 ini, orang ramai berpeluang untuk berkunjung ke LaLaport Bukit Bintang City Centre pada jam 10.00 pagi – 10.00 malam bagi merasai pengalaman dan keunikan seni dan budaya masyarakat dari 14 Negara yang didatangkan khas ke Malaysia.

Menerusi festival yang diadakan, para pengunjung berpeluang menyaksi dengan lebih dekat warisan tidak ketara yang diiktiraf UNESCO seperti Mak Yong & Songket (Malaysia), Chhau (India), Tango (Argentina & Belarus), Sega Mauritius Tradisional (Mauritius), Azerbaijani Mugham (Azerbaijan), Megkhambagu (Filipina), Korkyt Ata (Kazakhstan), Lazgi & Bakhshi (Uzbekistan), kesenian dari Sri Lanka, Mexico, Indonesia dan Republik Arab Mesir.

2. Rhythms of Kinabalu

Dinamakan sebagai Rhythms of Kinabalu(ROK), para peminat kesenian budaya berpeluang untuk menghadirkan diri pada 27 hingga 29 Oktober 2023 di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu.

Festival yang berlangsung seawal 8 pagi sehingga 11.30 malam ini bakal memuatkan pelbagai aktiviti buat para pengunjung seperti ROK Extravaganza, Pameran Demostrasi Seni Budaya, Bazar Seni Budaya ROK, Mr & Ms ROK, ROK Street Performance dan lain-lain lagi. Bah tunggu apalagi? Bawa la family kamu ka, kawan-kawan ka, partner ka hehe. Datang la memeriahkan lagi ROK’23. Jangan kasih tinggal chance ni. Jumpa kamu disanaaa yaaa.

3. Festival Merakyatkan Seni Budaya: Mek Mulung@Wang Tepus “Warisan Akar Umbi”

Istimewa buat warga Utara Malaysia, pihak JKKN turut bakal menganjurkan festival merakyatkan seni budaya bertempat di Dataran Kampung KEDA Wang Tepus, Jitra pada 26 hingga 28 Oktober 2023.

Menariknya mengenai festival kebudayaan yang diadakan di Kedah ini, para pengunjung berpeluang melihat kehebatan warga Kedah beraksi dalam Teater Tradisional Mek Mulung ‘Putera Cahaya Bulan’.

Untuk pengetahuan, Mek Mulung merupakan teater tradisional warga Kedah yang popular sejak dahulu kala serta menjadi hiburan masyarakat setempat yang semakin dilupakan.
Bukan itu sahaja, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara berusaha menaikkan balik teater tradisional ini dengan turut menggunakan loghat Kedah lama.

Demonstrasi pembuatan topeng & alat muzik Mek Mulung, bengkel Mek Mulung, sembang santai Mek Mulung, pertandingan Puteri Cilik Mek Mulung, peraduan mewarna Watak Mek Mulung dan banyak lagi yang boleh para pengunjung nikmati.

4. Gendang Sarawak

Lokasi ketiga yang dipilih pihak JKKN dalam mengajurkan festival kebudayaan ini adalah di Kuching Waterfront pada tarikh 3 hingga 5 November.

Dinamakan sebagai Festival Gendang Sarawak, orang ramai berpeluang menyaksikan Pertandingan Bemukun, Pertandingan Lagu Gendang Sarawak, Pertandingan Seh Gendang, Pertandingan Tandak Dewasa dan Kanak-Kanak dan lain-lain lagi.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan nyanyian daripada artis tempatan Sarawak dan penyanyi yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur.

Apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang untuk menghadirkan diri ke program yang julung-julung kali diadakan ini. Pastinya program ini bakal memberi para pengunjung kepuasan dan menyimpan pengalaman yang menarik dan unik.

Selain itu para pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti serta program seni budaya, anda bolehlah melayari laman rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.