Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali tampil memberikan pandangannya berhubung kontroversi melibatkan jenama penjagaan diri lelaki dari Indonesia, Kahf.

Johan atau lebih mesra disapa Jojo yang mempunyai kerjasama dengan Kahf memilih untuk tidak terburu-buru menghukum jenama tersebut susulan hantaran “Hati-Hati Beda Level” yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya rakyat Malaysia.

Menerusi perkongsian di Threads, atlet berusia 19 tahun itu mengakui pasukan Kahf sememangnya melakukan kesilapan.

Namun begitu, Johan berpendapat kesilapan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan perkara lebih penting ialah kesediaan untuk mengakuinya serta memohon maaf.

“Jelas sekali pasukan Kahf melakukan kesilapan yang agak bodoh, tetapi kita semua pun pernah melakukan kesilapan. Selagi mereka meminta maaf, saya tiada masalah dengan perkara itu.

“Sejujurnya, saya masih menganggap Kahf sebagai jenama yang wajar disokong, tetapi terpulang kepada kamu semua untuk membuat keputusan.

“Sepanjang bertahun-tahun saya bekerja dengan mereka, saya tidak pernah berdepan sebarang masalah.

“Lagipun, saya sendiri pernah melakukan dan mengatakan perkara yang jauh lebih keterlaluan, tetapi mereka tidak pernah memboikot saya.

“Saya tetap setia kepada Kahf. Kita semua melakukan kesilapan. Selagi kita meminta maaf, kita boleh teruskan kehidupan.

“Perkara ini sebenarnya tidaklah sebesar mana pun. Relaks lah, semua.”

Johan Ghazali Tetap Setia Bersama Kahf: 'Ia Jenama Yang Wajar Disokong, Dan Mereka Dah Pun Minta Maaf'

Kontroversi Kahf tercetus selepas akaun rasmi jenama tersebut di Threads memuat naik grafik berkaitan bola sepak yang memaparkan bendera Indonesia di bahagian atas garisan bertulis “Hati-Hati Beda Level”.

Bendera Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura, Laos, Myanmar, Timor-Leste dan Australia pula diletakkan di bahagian bawah grafik berkenaan.

Hantaran tersebut turut disertakan kapsyen, “Tutor cara masup Eropa dong warga”.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kejayaan Indonesia menjuarai FIFA ASEAN Cup 2026. Namun, penggunaan akaun rasmi jenama untuk kandungan berbentuk sindiran itu mengundang kritikan kerana dianggap memperlekehkan negara-negara lain.

Situasi berkenaan kemudiannya mencetuskan reaksi pengguna media sosial Malaysia dengan sebahagian daripada mereka menyeru supaya produk Kahf diboikot.

Susulan kecaman tersebut, Kahf memadam hantaran berkenaan sebelum tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kahf mengakui hantaran tersebut tidak sepatutnya diterbitkan dan tidak mencerminkan nilai rasa hormat yang menjadi antara prinsip utama jenama berkenaan.