Pemain tengah England, Jordan Henderson dikhuatiri mengalami kecederaan pergelangan tangan dan bahu yang agak merisaukan ketika meraikan kemenangan dramatik pasukannya ke atas Mexico dalam aksi pusingan 16 Piala Dunia 2026.

Henderson yang mahu kembali ke padang selepas meraikan kejayaan manis itu bersama penyokong dilihat terjatuh sebaik dalam usahanya memanjat papan iklan.

Tangan kirinya yang memegang bahagian atas papan itu dilihat tergelincir hingga menyebabkan lompatan Henderson menjadi tidak stabil lalu terjatuh.

Pemain tengah itu bertindak menggunakan tangan kirinya untuk mendarat di atas padang menyebabkan kecederaan dialami dan kemudiannya terpaksa meninggalkan padang dengan menggunakan pengusung.

Kelihatan barisan rakan sepasukannya yang lain membuat ‘benteng manusia’ ketika beliau sedang menerima rawatan sebelum diusung keluar.

Pemain tengah Brentford berusia 36 tahun itu hanya sempat membuat penampilan singkat selama enam minit pada penghujung kemenangan England ke atas Panama dalam aksi Kumpulan L.

Malang Tak Berbau Buat Jordan Henderson

“Jordan [Henderson] jatuh dan mencederakan pergelangan tangannya. Ia nampak sangat teruk,” ujar Tuchel menurut sumber laporan BBC.

“Ia nampak seperti kecederaan yang agak serius dan tidak sesuai dengan suasana malam ini kerana Jordan kini tidak bersama kami. Doktor memaklumkan dia berada di hospital.”

Kecederaan yang dialami Jordan Henderson itu bakal membuatkan Tuchel terus pening kepala. Sebelum ini beliau kehilangan khidmat Reece James yang mengalami Hamstring.

Manakala pada aksi bertemu Mexico, Jarell Quansah pula terpaksa diketepikan selepas dilayangkan kad merah.

Sumber