Pengurus Portugal, Jorge Jesus memberikan reaksi terhadap kenyataan kontroversi Dolores Aveiro, ibu kepada Cristiano Ronaldo, yang mendakwa anaknya telah dipermainkan oleh pihak pasukan kebangsaan.

Dolores sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima Ronaldo sehingga mengambil keputusan bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Lebih mengejutkan, Dolores turut mengakui dia berasa gembira melihat Portugal dibelasah Denmark 4-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA baru-baru ini.

Dia menyifatkan kekalahan itu memang layak diterima Portugal kerana menganggap anaknya tidak dihormati dan telah dipermainkan ketika bersama skuad kebangsaan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan tersebut, Jorge Jesus memberikan jawapan yang cukup bersahaja.

“Jadi sekarang saya perlu mengulas tentang [komen] ibu Cristiano Ronaldo? Ibu Cristiano Ronaldo ialah seorang wanita yang sangat saya hormati.

“Apa yang boleh saya katakan? Ibu tetap seorang ibu. Saya memahami kenyataannya,” kata Jesus kepada RTP.

Beliau kemudian menegaskan bahawa Dolores berhak mempertahankan anaknya dan meminta semua pihak menghormati perasaan seorang ibu.

“Ibu akan sentiasa mempertahankan anak mereka sehingga ke akhir hayat. Dia seorang ibu yang sangat baik dan telah banyak berkorban untuk membesarkan anak-anaknya,” katanya.

Jesus turut meluahkan rasa penat apabila setiap persoalan menjelang perlawanan Portugal kini lebih tertumpu kepada isu persaraan Ronaldo berbanding persiapan pasukan.

“Saya tidak tahu bila perkara ini akan berakhir. Jika kamu bertanya, saya perlu menjawab. Jika kamu bertanya mengenai Ronaldo tahun depan sekalipun, saya tetap akan menjawab,” katanya.

Kontroversi ini tercetus selepas hubungan Ronaldo dan Jesus menjadi tegang susulan insiden ketika kem latihan Portugal sebelum ini.

Ronaldo kemudian mengumumkan persaraan antarabangsa pada 5 November 2026, sekali gus menamatkan karier bersama Portugal yang menyaksikan beliau mencatat 234 penampilan dan 146 gol.