Ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus akhirnya tampil bersuara susulan kenyataan terbuka mengejutkan yang dikeluarkan kapten pasukan kebangsaan, Cristiano Ronaldo.
Bintang Al-Nassr itu sebelum ini menerbitkan penjelasan terperinci berhubung keputusan mengejutnya meninggalkan kem latihan antarabangsa, yang turut mengandungi kritikan keras terhadap kejujuran pengendalinya.

Jorge Jesus memberikan respons ringkas dan profesional terhadap tuduhan serius yang dilemparkan Ronaldo terhadapnya.
Sebaliknya, jurulatih berpengalaman itu menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk terheret dalam perang mulut secara terbuka dengan penyerang legenda berkenaan.
Ketegangan antara kedua-dua individu itu kini memuncak selepas Ronaldo mengambil tindakan luar biasa dengan meninggalkan kem pasukan ketika skuad itu masih menjalani tugasan antarabangsa semasa.
Ketika ditanya mengenai kenyataan terperinci yang dikeluarkan pemenang lima kali Ballon d’Or itu, Jesus memilih untuk tidak mengulas panjang perkara berkenaan.
“Saya sudah membaca kenyataan itu dan sekarang, seperti yang saya lakukan setiap hari, saya akan ke pejabat persatuan untuk bekerja serta memikirkan tentang pasukan dan skuad kebangsaan,” ujar Jesus menurut sumber laporan Goal.
Hubungan Cristiano Ronaldo, Jorge Jesus Retak
Kontroversi itu tercetus selepas Ronaldo mengeluarkan penjelasan panjang lebar mengenai keputusannya meninggalkan kem pasukan Portugal.
Menerusi kenyataan tersebut, kapten berkenaan mengakui tindakannya itu merupakan perkara serius dan sedar statusnya sebagai pemimpin pasukan bermakna beliau perlu menerima hukuman berat.
Bagaimanapun, Ronaldo turut mengkritik Jorge Jesus secara terbuka dengan mendakwa pengendali itu memungkiri janji sebanyak dua kali sepanjang tugasan antarabangsa kali ini.
Punca utama rasa tidak puas hati Ronaldo berkait dengan perlawanan menentang Norway apabila beliau didakwa diberitahu akan diturunkan selama kira-kira 30 minit, namun akhirnya sekadar memanaskan badan sebelum kekal di bangku simpanan tanpa beraksi.

Penyerang itu turut mendakwa Jesus tidak mengikuti persetujuan yang dicapai ketika sidang media menjelang pertemuan menentang Denmark.
Menurut Ronaldo, pengendali berkenaan meminta dan meluluskan satu dokumen sebagai panduan untuk berdepan pihak media, namun akhirnya tidak mengikut kandungan dokumen tersebut.