Jose Mourinho mengecam Vinicius Jr secara terbuka kerana melakukan keraian yang dianggap provokatif. Di mana pemain Real Madrid itu meraikan golnya di hadapan penyokong Benfica.

Menurut Mourinho, itu bukanlah kali pertama pemain asal Brazil itu bertindak sedemikian.

Vinicius Jr menjadi penjaring gol tunggal pada aksi pertama play off kalah mati Liga Juara Juara Eropah antara Benfica dan Real Madrid.

Mourinho memuji gol Vinicius sebagai luar biasa, namun mempersoalkan tindakan pemain itu yang meraikan gol dengan menari nari di hadapan penyokong Benfica di tepi padang.

Mourinho berkata: “Insiden Vinicius? Apabila ianya berlaku di beberapa stadium, perkara yang sama, bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya beritahu Vinicius, kamu menjaringkan gol luar biasa yang hanya Mbappe sahaja boleh melakukan gol sedemikian. Kenapa kamu meraikannya sebegitu di hadapan 60,000 penyokong Benfica?

“Kamu sepatutnya meraikan gol cantik itu bersama rakan rakan kamu, berpelukan dengan mereka.

“Kenapa kamu tidak meraikan gol itu seperti Di Stefano, Pele atau Eusebio. Saya tidak faham.”

Mourinho turut menambah bahawa dia sudah memberitahu Arbeloa tentang sikap Vinicius Jr yang berlagak seperti orang bodoh.

“Saya pergi kepada Arbeloa dan memberitahunya, lihat pemain ini, Vini, dia menjaringkan gol yang hebat dan kemudian pergi ke sudut padang, berlagak seperti orang bodoh.”

Dalam perlawanan yang sama, Vinicius telah mendakwa dia diejek secara perkauman oleh pemain Benfica, Prestianni.

Pengadil terpaksa menghentikan seketika perlawanan untuk protokol anti perkauman.

Mourinho menyatakan bahawa, dia sudah bercakap dengan kedua dua pemain.

“Saya dah bercakap dengan kedua dua pemain. Vinicius kata begini, dan Prestianni kata begitu. Saya tidak mahu memihak kepada mana mana pihak.

“Apa yang pasti Benfica bukan kelab rasis. Kelab ini ada Eusebio yang dijulang sebagai legenda, dan dia berkulit hitam,” tegas Mourinho yang turut dibuang padang pada perlawanan tersebut kerana mempertikaikan keputusan pengadil.