Kehadiran Jose Mourinho dalam kembali membimbing Real Madrid pastinya bakal menjelmakan perubahan baharu buat kelab gergasi Sepanyol tersebut.

Pengendali kelahiran Portugal itu dikenali sebagai seorang pengurus yang lantang serta memiliki gaya pengurusan berteraskan disiplin ketat dan struktur yang tersusun.

Dengan masalah melibatkan sikap negatif segelintir pemain Real Madrid yang dilihat semakin membelenggu pasukan, ternyata Mourinho adalalah pilihan terbaik untuk mengemudi skuad Los Blancos.

Beliau memahami bahawa ekosistem di Real Madrid dan Valdebebas memerlukan kawalan, peraturan baharu serta sentuhan tersendiri daripadanya. Jadi, sehubungan dengan itu, beliau sudah mula bertindak.

Para pemain sebelum ini mempunyai segala kemudahan yang diperlukan untuk mengatur rutin harian mengikut kehendak masing-masing.

Dan itulah perkara yang cuba diubah oleh jurulatih dari Portugal itu bagi menjadikan rutin harian kurang selesa dan mengenakan kawalan yang jauh lebih ketat, bukan sahaja ketika latihan tetapi terhadap segala perkara berkaitan pemain serta apa sahaja yang boleh mempengaruhi mereka.

Menurut sumber laporan AS, aspek pemakanan, pemulihan kecederaan dan juga ketepatan masa ketika hadir ke Valdebebas kini diberi perhatian.

Berikut merupakan perubahan yang sudah dimulakan oleh Jose Mourinho buat kesemua pemain Real Madrid:

Perubahan Dilakukan Jose Mourinho

1) Semangat Berpasukan

Peraturan tersebut tidak semestinya perlu dikuatkuasakan dengan cara ‘kuku besi’. Ketegasan dan keyakinan juga mampu memberikan kesan yang sama. Bagi Mourinho, membina sebuah pasukan juga merupakan perkara yang sangat penting.

Lihat sahaja video yang dikongsikan wartawan sukan Ghana, Juliet Bawuah yang memaparkan keseluruhan skuad dan barisan kejurulatihan makan bersama di Valdebebas.

Perkara seperti itu bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan sebelum ini. Namun, Mourinho menganggap rutin tersebut sangat penting sebagai salah satu usaha membina semangat berpasukan.

Beliau turut melakukan perkara sama ketika di Benfica dan kini membawa amalan tersebut bersamanya ke Madrid.

“Dia mahu mengeratkan hubungan dalam kumpulan dan memupuk kesatuan, dan ia cukup mengujakan,” kata seorang sumber dalaman kelab menurut sumber AS.

“Suasananya sangat, sangat baik,” tambah seorang lagi sumber.

Perkembangan tersebut mendapat sambutan positif dalam kalangan warga kelab terutama selepas penghujung musim lalu yang berlangsung dalam suasana tegang.

2) Nutrisi (Penjagaan Pemakanan)

Pendekatan tegas Mourinho turut disertai dengan sentuhan yang lebih lembut khususnya dalam soal pemakanan. Ia bermula di dapur atau lebih tepat lagi, menerusi makanan yang diambil oleh para pemain.

Peranan pakar pemakanan kini bukan lagi sekadar memberi nasihat. Pakar pemakanan bertanggungjawab menetapkan menu untuk sarapan dan makanan ringan pada waktu petang dengan segala-galanya dirancang dan disusun berdasarkan keperluan prestasi, bukannya mengikut cita rasa peribadi pemain.

Sebelum ini, pemain mempunyai lebih banyak kebebasan dalam memilih makanan. Namun, perkara itu kini sudah berubah. Setakat ini, pendekatan tersebut juga tidak menimbulkan sebarang perpecahan dalam kalangan skuad. Sebaliknya, ia mendapat penerimaan yang baik.

3) Kehadiran 

Skuad juga tidak menunjukkan reaksi negatif terhadap polisi baharu yang lebih menekankan soal ‘denda’.

Namun, masalah disiplin tidak dihukum dari sudut kewangan. Sebaliknya, pemain yang lewat perlu menjalani latihan sendirian di gimnasium, berasingan daripada rakan sepasukan yang lain.

Para pemain diwajibkan tiba di Valdebebas sejam sebelum latihan bermula. Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan tersebut akan dikenakan tindakan.

Tiada pengecualian dan tiada layanan istimewa mengikut status pemain.

4) Proses Pemulihan Kecederaan

Akhir sekali, aspek yang turut diberi perhatian ialah kecederaan.

Proses pemulihan kini dilakukan di Valdebebas, termasuk ketika pemain menjalani latihan bersama jurulatih peribadi pada sebelah pagi dan petang.

Rawatan di luar pusat latihan tidak lagi dibenarkan dengan segala proses pemulihan diselaraskan bersama kelab dan barisan kakitangannya seperti yang sudah diamalkan dalam beberapa aspek sebelum ini.

Pemulihan kecederaan juga tidak lagi dianggap sebagai urusan individu semata-mata. Kini, proses tersebut dilakukan secara lebih kolektif dan dipantau dengan lebih ketat berbanding sebelum ini.

Mourinho mahu memperkenalkan tabiat baharu bagi menghapuskan beberapa rutin lama yang tidak disenanginya.

Tuntutan terhadap pemain bermula jauh sebelum mereka turun ke padang. Dan bersama Jose Mourinho, tuntutan itu bermula lebih awal lagi.