Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 500,000 saman bernilai RM150 juta yang dikeluarkan kepada warga asing atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA) sejak 2023.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah tersebut berdasarkan kadar maksimum RM300 bagi setiap saman.

Antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah memandu tanpa lesen sah, tiada cukai jalan, serta tiada perlindungan insurans, petik Utusan Malaysia.

Bagi memperketat penguatkuasaan, JPJ mengguna pakai pendekatan baharu bermula Julai lalu.

Mana-mana kenderaan yang dipandu warga asing secara tidak mematuhi peraturan akan disita serta-merta, manakala pemandu dan pemilik kenderaan boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Bila kita keluarkan saman, perkara ini tidak berakhir di situ. Jadi, mulai Julai tahun ini, kita telah mengubah pendekatan.

“Kes berkenaan perlu diselesaikan di mahkamah dan sekiranya tidak diselesaikan, kenderaan terbabit tidak akan dibenarkan berada di jalan raya,” katanya dalam audio siar PodX Utusan Malaysia, semalam.

Tambah beliau, sebahagian warga asing memandu tanpa menghadiri kelas pemanduan yang sah serta menganggap undang-undang jalan raya di Malaysia sama seperti negara asal mereka.

“Apabila mereka membawa kenderaan, mereka tidak mematuhi peraturan dan menganggap seolah-olah undang-undang negara kita ini sama seperti undang-undang mereka.

“Disebabkan perkara itu, kita mengambil pendekatan memperkenalkan Op PeWA dengan mengambil tindakan terhadap warga asing melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

Beliau menekankan bahawa usaha penguatkuasaan memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada rakyat tempatan.

Pada masa sama menyelar sikap segelintir pemilik kenderaan warga tempatan yang sanggup menyewakan kenderaan kepada warga asing demi keuntungan jangka pendek.