Dalam usaha memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tampil dengan pendekatan baharu menerusi penganjuran Karnival Mega JPJ MADANI 2026 sempena ulang tahun ke-80 jabatan itu.

Acara yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang ini menandakan satu langkah signifikan apabila ia dianjurkan secara besar-besaran buat pertama kali, dengan kerjasama strategik Media Prima Berhad.

Karnival ini juga dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, penganjuran ini mencerminkan perubahan pendekatan jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Semoga tindakan ini menjadi contoh kepada seluruh warga JPJ bahawa perkhidmatan yang berkesan bukan sahaja memerlukan ketegasan tetapi juga keprihatinan dalam menyantuni rakyat,” katanya.

JPJ kini tidak lagi hanya menumpukan kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya turut memberi perhatian kepada elemen keprihatinan dan interaksi yang lebih mesra.

Melalui kerjasama ini, JPJ turut memanfaatkan kekuatan platform Karnival Jom Heboh yang terkenal dengan capaian meluas serta keupayaan menarik kehadiran orang ramai.

Selain itu, kehadiran wakil Media Prima Omnia seperti Pengurus Besar Unit Kerajaan Media Prima Omnia, Shanaz Md Azali serta Pengurus Besar dan Pengaktifan Media Prima Omnia, Eileen Lim turut menunjukkan komitmen bersama dalam menjayakan program ini.