Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah menyita sebuah motolori yang didapati beroperasi secara haram dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah luput sejak 1997, dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini.
Menerusi hantaran Facebook JPJ Negeri Kedah, selain kegagalan memperbaharui LKM selama hampir tiga dekad, pemeriksaan lanjut Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah mendapati kenderaan perdagangan berkenaan turut beroperasi tanpa perlindungan insurans yang sah serta mendaftar tempoh pemeriksaan PUSPAKOM yang telah tamat.
Hasil siasatan di lokasi kejadian juga mendapati pemandu motolori terbabit tidak memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) yang sah.
Tindakan penyitaan kenderaan tersebut dibuat di bawah undang-undang pengangkutan jalan bagi mengekang risiko keselamatan berikutan pengoperasian kenderaan yang tidak layak berada di atas jalan raya.
Pihak JPJ Kedah memberi peringatan tegas kepada semua pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan agar sentiasa memastikan dokumen wajib seperti LKM, insurans, kelulusan PUSPAKOM, dan lesen vokasional berada dalam keadaan sah sebelum memulakan sebarang perjalanan.