Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh menggunakan sebuah Mercedes untuk mengangkut sayur-sayuran ke pasar membawa padah apabila dia ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Langkawi dalam Ops Luxury di sekitar Jalan Padang Matsirat.

Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Di samping itu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan terbabit didapati telah tamat tempoh dan tidak dilindungi insuran berkuat kuasa.

Memetik Berita Harian, Pengarah JPJ Negeri Kedah, Stien Van Lutam berkata lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penanam sayur itu menggunakan kereta mewah berkenaan sejak 27 Mei 2025.

“Lelaki tersebut ditahan ketika sedang membawa sayur-sayurannya untuk dijual kepada pihak ketiga di sebuah pasar basah di Padang Matsirat. Hasil soal siasat, dia memaklumkan kereta berkenaan adalah miliknya tetapi tidak memberitahu harga sebenar kereta yang dibelinya itu.

“Pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah, selain lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang telah tamat pada 26 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan kesalahan tersebut, pihak berkuasa telah menyita kenderaan berkenaan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Kes ini menjadi peringatan bahawa mewah bukan bermakna kebal undang-undang – setiap kenderaan dan pemandu wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan,” petik JPJ Negeri Kedah.