Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 26.2% pada Minggu Epidemiologi ke-15 (ME 15/2023) iaitu dari 9 hingga 15 April 2023 berbanding minggu sebelumnya.

KKM dalam kenyataan semalam memaklumkan majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta individu dengan komorbid namun peningkatan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Dari 1 Januari hingga 15 April lalu, kadar kes kematian (Case Fatality Rate – CFR) COVID-19 dilaporkan adalah 0.3% berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu sebanyak 2.1%.

Sebanyak 80.7% membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, manakala 82.6% adalah dalam kalangan individu dengan komorbid,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Selain itu KKM mendedahkan kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak. Malah, risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

Oleh itu, orang ramai terutamanya individu berisiko tinggi disarankan  untuk mendapatkan dos penggalak disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada dos terakhir.

KKM turut mengingatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan langkah berjaga-jaga bagi membendung peningkatan jangkitan semasa musim perayaan walaupun negara berada dalam Fasa Peralihan COVID-19.