Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann mengakui tidak puas hati dengan mutu pengadilan selepas pasukannya terikat 3-3 dengan Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, semalam.

Skuad Harimau Malaya sempat mendahului 2-1 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arif Aiman pada minit ke 62 namun Klinsmann menyifatkan pengadil membuat keputusan yang salah.

Baca Juga:

Walaupun pengadil perlawanan telah merujuk kepada rakaman video VAR tetapi Klinsmann tetap tak bersetuju dengan keputusan itu.

“Tiada penalti. Ianya tak sepatutnya penalti untuk Malaysia. Saya tidak puas hati bagaimana dua keputusan pengadil telah memberikan mereka dua gol,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Keputusan seri itu menyebabkan Korea Selatan gagal menjuarai kumpulan E sekaligus bakal bertemu lawan yang sukar, Arab Saudi di pusingan 16.

“Kami menguasai perlawanan dan sepatutnya menang. Kami beraksi dengan lebih berdisiplin.

“Kami ada beberapa hari untuk berehat dan kembali buat persiapan untuk perlawanan seterusnya. Kejohanan sebenar telah bermula. Kami melepasi peringkat kumpulan tanpa kalah.

“Saya rasa kami boleh lakukan lebih baik daripada perlawanan menentang Malaysia,” tambah Klinsmann.

Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyifatkan keputusan seri 3-3 dengan Korea Selatan pada aksi Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub sebagai menakjubkan.

Beliau menegaskan apa yang diraih dalam pertembungan dengan pasukan di ranking ke-23 dunia itu adalah hasil usaha keras pemain yang berjuang hingga wisel penamat.

“Kami tak dapat bayangkan perasaan mendapat keputusan yang hebat. Menentang pasukan gergasi seperti Korea memberikan motivasi tambahan kepada pemain untuk bersedia dalam Kelayakan Piala Dunia.

“Kami tidak letak sebarang harapan dalam perlawanan ini, tetapi saya memberitahu pemain untuk cuba memberikan tentangan sengit menentang pasukan yang mempunyai pemain bertaraf dunia.

“Saya masih fikir Korea Selatan adalah pasukan yang kuat. Saya menjangkakan mereka akan memenangi Piala Asia,” tambah Kim Pan Gon.