Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Adolf Klinsmann menepis dakwaan yang mengatakan anak buahnya tidak mahu meraih kemenangan ke atas Malaysia kerana mahu mengelak pertemuan dengan Jepun di pusingan 16.

Sebaik sahaja Jepun tewas menentang Iraq dan kemudiannya mara ke pusingan 16 selaku naib juara kumpulan, tumpuan jelas terarah kepada persaingan di kumpulan E terutamanya melibatkan skuad kendalian Klinsmann itu.

Baca Juga:

Hal ini kerana pasukan juara kumpulan E perlu berhadapan dengan juara empat kali saingan tersebut.

Sehubungan dengan itu terdapat spekulasi mengatakan Jordan dan Korea Selatan yang masing-masing meraih empat mata cuba untuk mengelakkan daripada meraih kemenangan pada perlawanan terakhir malam tadi.

Lebih menarik, kedua-dua pasukan melakukan perkara sama apabila Jordan tewas 0-1 bertemu Bahrain manakala Korea Selatan pula diikat Malaysia 3-3.

Jepun
Kredit Foto: 2024 Asian Football Confederation (AFC)

Keadaan yang sekali gus meletakkan Bahrain selaku juara kumpulan untuk bertemu Jepun manakala Korea Selatan akan berhadapan dengan Arab Saudi.

Sementara itu, Jordan yang menjadi pasukan di tangga ketiga terbaik bakal membuat perhitungan dengan Iraq.

Bagaimanapun, Jurgen Klinsmann yang memuji aksi ditampilkan barisan pemain negara menafikan perancangan mengelakkan Jepun berada dalam benak fikirannya sebelum perlawanan menentang Malaysia.

“Kami bukan mengelak bertemu Jepun, sudah tentu ia bukan perancangan kami untuk melepaskan tiga gol hari ini. Kami mahu muncul juara kumpulan, itu adalah sasaran kami.”

“Malah, saya akui Malaysia bermain dengan sepenuh hati dan kamu perlu memberikan mereka kredit tetapi kami sepatutnya memenangi perlawanan ini,” ujar Klinsmann menurut sumber laporan BH Online.

Sumber