Jaringan Romel Morales pada saat akhir membolehkan Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi kumpulan E Piala Asia 2023 yang berlangsung di Al Janoub Stadium sebentar tadi.

Meskipun sudah tersingkir daripada persaingan ke pusingan 16, satu mata itu boleh dianggap sebagai hadiah manis buat seluruh rakyat Malaysia apatah lagi berjaya mengikat pasukan berkelas dunia seperti Korea Selatan.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-23 dunia, Kim Pan-gon mengekalkan sebahagian besar pemain dan hanya melakukan dua perubahan di kesebelasan utama dengan memasukkan Daniel Ting dan Brendan Gan.

Kehadiran dua pemain tersebut jelas memberikan nilai tambah yang cukup berguna buat pasukan negara pada perlawanan ini.

Seperti dijangka, skuad negara jelas berdepan kesukaran untuk mengawal permainan dengan penguasaan penuh dipamerkan skuad kendalian Jurgen Klinsmann.

Korea Selatan mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-15 tetapi rembatan kaki kiri dari jarak dekat oleh Son Heung-min digagalkan Ahmad Syihan Hazmi.

Kehampaan itu ditebus berselang enam minit kemudian selepas tandukan Jeong Woo-yeong susulan situasi sepakan sudut berjaya menghadiahkan gol pertama buat Korea.

Gol tersebut terpaksa disahkan menerusi rujukan Video Assistant Referee (VAR) setelah pada mulanya pengadil perlawanan,
Khalid Saleh Alturais tidak menghiraukan percubaan tersebut.

Korea terus garang mengancam kubu negara pada minit ke-44, namun Ahmad Syihan cemerlang menafikan tandukan Choi Gue-sung dari jarak dekat.

Bagaikan mendapat tonik berguna ketika rehat di bilik persalinan, skuad Harimau Malaya tampil dengan lebih baik sehingga berjaya melonjakkan kegembiraan buat kem negara.

Berpunca daripada tekanan diberikan Darren Lok, ia kemudiannya memberikan ruang buat Faisal Halim untuk melakukan percubaan dalam kawasan penalti yang memerangkap Kim Min Jae dan penjaga gol, Jo Hyeon-woo bagi kembali mengikat kedudukan pada minit ke-51.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral para pemain negara dimana mereka sesekali mencipta ruang menerusi serangan balas pantas yang akhirnya dihadiahkan sepakan penalti.

Arif Aiman Hanapi yang dikasari dalam kawasan penalti tidak berdepan masalah untuk meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-62.

Lima minit kemudian Malaysia hampir menambah satu lagi jaringan tetapi serangan balas pantas Arif Aiman membolehkan Faisal melakukan percubaan.

Namun, rembatan pemain lincah itu sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Korea ketika Hyeon-woo sudah pun tertewas.

Tertekan dengan kedudukan tersebut, Korea Selatan meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu skuad negara.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-83 apabila sepakan percuma cantik Lee Kang In menerjah gawang skuad negara walaupun Ahmad Syihan berupaya menepis percubaan tersebut.

Kesilapan Junior Eldstal dalam kawasan penalti menyaksikan VAR memberikan sepakan penalti buat Korea Selatan pada minit keempat masa kecederaan.

Son yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang meskipun Syihan dapat membaca arah sepakan itu untuk kembali meletakkan Korea Selatan dihadapan.

Ketika Malaysia hampir pulang tanpa sebarang mata, Romel Morales memastikan skuad negara pulang dengan satu mata apabila percubaan leretnya gagal diselamatkan Hyen-woo.