Jaringan minit akhir permainan oleh Ali Madan menghancurkan peluang Malaysia untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas 0-1 bertemu Bahrain pada aksi kedua kumpulan E Piala Asia 2023 yang berlangsung di Jassim Bin Hamad Stadium, sebentar tadi.

Kekalahan yang nyata sukar untuk ditelan penyokong setia skuad Harimau Malaya ketika mereka bertahan dengan cukup baik sepanjang permainan.

Baca Juga:

Dikritik hebat ketika tewas bertemu Jordan tempoh hari, barisan pemain negara tampil dengan lebih meyakinkan bertemu dengan pasukan tangga ke-86 ranking dunia itu.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon membuat beberapa perubahan dengan meletakkan Shahrul Mohd Saad, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba dan Paulo Josue di kesebelasan utama.

Matthew Davies dan rakan sepasukannya beraksi dengan penuh berdisiplin ketika bertahan dan sesekali mencuri ruang untuk melakukan serangan balas pantas bagi mengimbangi penguasaan besar pasukan lawan.

Malah, kehadiran Syamer jelas menghidupkan jentera tengah dimana beliau dan Stuart Wilkin memainkan peranan yang cukup baik dalam menyerap tekanan lawan pada babak pertama.

Malaysia mendapat peluang pertama seawal minit ketujuh permainan hasil lontaran jauh dilakukan La’vere Corbin-Ong ke kubu Bahrain.

Kegagalan pertahanan lawan untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya memberikan ruang buat Cools untuk melakukan rembatan. Namun, percubaan terbaik dimiliki pemain pertahanan tengah skuad negara itu sekadar melewati palang gol.

Malaysia sekali lagi mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan tetapi percubaan Arif Aiman Mohd Hanapi ketika beliau tidak dikawal dalam kawasan penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol, Ebrahim Lutfalla pada minit ke-16.

Tiga minit kemudian, Arif Aiman sedikit lewat untuk menyambar hantaran lintang yang cukup berkualiti dilorongkan Paulo Josue.

Memasuki minit ke-31, Komail Alaswad pantas menuju ke dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran jauh Lutfalla, bagaimanapun Cools berjaya mengekang pemain tersebut tetapi bola yang terkena kakinya tidak dapat dihalang Ahmad Syihan Hazmi lalu menuju ke gawang skuad negara.

Namun, mujur Dominic Tan berada di kedudukan yang tepat untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya bagi menyelamatkan keadaan.

Ketiadaan Syamer yang dikeluarkan pada awal babak kedua jelas sedikit mengganggu rentak skuad negara dalam aspek memberikan tekanan dan memberikan cabaran buat lawan dimana penggantinya, Natxo Insa dilihat kurang memberikan impak.

Kesempatan itu digunakan Bahrain untuk terus mendominasi permainan dan hampir mendapatkan jaringan pada minit ke-56 menerusi Abdulla Yusuf Helal.

Tandukan pemain gantian itu selepas menerima hantaran lintang Mohamed Adel bagaimanapun hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Ketika Bahrain menguasai permainan, Davies hampir meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-90 tetapi percubaan voli cantik diledakkannya melewati palang gol.

Aksi semakin mendebarkan pada masa kecederaan apabila Ahmad Syihan cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Ali Hassan Saeed Isa bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Malaysia akhirnya kecewa pada saat terakhir permainan apabila percubaan luar kawasan penalti Ali Madan ketika situasi sepakan penjuru berjaya merobek gawang skuad negara untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Bahrain.