Jurgen Klopp tidak membuang masa untuk mencorakkan skuad kebangsaan Jerman apabila memperkenalkan beberapa peraturan baharu yang ketat untuk para pemainnya.
Bekas pengurus Liverpool itu mahu mengubah budaya dalam skuad berkenaan ketika mereka membuat persiapan menghadapi perlawanan berprofil tinggi UEFA Nations League menentang Belanda.
Selepas dilantik selepas berakhirnya Piala Dunia 2026 tempoh hari, pengurus berusia 59 tahun itu dilaporkan memperkenalkan beberapa langkah disiplin yang bertujuan untuk membentuk kesatuan dan meningkatkan fokus dalam kalangan pemain.
Perubahan tersebut dilihat berbeza berbanding peraturan yang ditetapkan oleh pendahulunya, Julian Nagelsmann ketika Klopp berusaha membina suasana yang lebih bersatu dalam skuad menjelang kitaran antarabangsa utama seterusnya.

Peraturan Baharu Lebih Ketat Diperkenalkan Jurgen Klopp
Menurut sumber laporan Goal, antara perubahan paling ketara yang dilakukan Jurgen Klopp melibatkan rutin pemakanan skuad di hotel penginapan mereka.
Di bawah kendalian Nagelsmann sebelum ini, para pemain diberikan sedikit kelonggaran dari segi waktu makan dengan mereka biasanya hadir secara berperingkat untuk makan malam antara jam 7 hingga 8 malam.
Namun, Klopp mahu amalan tersebut dihentikan apabila beliau mewajibkan seluruh skuad hadir dan sudah berada di tempat masing-masing tepat pada waktu makan bermula.
Selain perubahan di ruang makan, Klopp turut mengambil langkah untuk mengehadkan penggunaan teknologi pada waktu tertentu sepanjang hari latihan.
Larangan menggunakan telefon bimbit kini dilaksanakan ketika sesi pengaktifan pada hari perlawanan, termasuk ketika pemain berada di gimnasium atau menjalani rawatan. Klopp mahu para pemain memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang fasa persiapan tersebut.
Langkah itu dipercayai bertujuan menghapuskan gangguan yang sering hadir bersama penggunaan teknologi dalam bola sepak moden. Dengan mengharamkan penggunaan telefon di kawasan perubatan dan persiapan, Klopp mahu pemain lebih banyak berinteraksi sesama sendiri serta dengan barisan kejurulatihan.
Klopp berpendapat tempoh singkat tersebut penting untuk membina semangat berpasukan yang diperlukan bagi mencapai kejayaan di peringkat tertinggi bola sepak antarabangsa.
Dalam pada itu, beliay turut menuntut tahap persiapan peribadi yang lebih tinggi daripada para pemain sebelum mereka tiba di kem latihan.
Antara peraturan unik yang diperkenalkan Jurgen Klopp ialah larangan mendapatkan khidmat gunting rambut profesional di hotel penginapan atau kem latihan pasukan. Menurutnya, skuad kebangsaan perlu dilihat sebagai satu tempat kerja yang profesional.
Peraturan itu bertujuan menegaskan bahawa masa bersama DFB perlu dikhususkan untuk urusan bola sepak. Dengan mengurangkan suasana seperti ‘kem mewah’ yang kadangkala wujud dalam kem latihan moden, Klopp mahu menerapkan budaya profesionalisme pada tahap tertinggi.
Mesej yang cuba disampaikan kepada para pemain adalah jelas. Kem latihan skuad kebangsaan ialah tempat untuk bekerja manakala segala urusan peribadi perlu diselesaikan pada masa sendiri.
Jurgen Klopp turut mengubah dasar berkaitan kunjungan keluarga ketika jendela antarabangsa. Jika Nagelsmann sebelum ini dikenali dengan pendekatan lebih terbuka dengan membenarkan ahli keluarga datang atau menginap di kem pasukan apabila keadaan mengizinkan, Klopp mengambil pendekatan yang lebih ketat.
Kini, kunjungan keluarga hanya dibenarkan pada waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan berbanding dasar terbuka yang diamalkan sebelum ini.
Langkah tersebut bertujuan membolehkan pemain membina keserasian sebagai satu pasukan sepanjang berada di kem latihan, khususnya ketika mereka memasuki era baharu selepas kekecewaan dalam beberapa kejohanan utama sebelum ini.
Dengan perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Belanda yang akan berlangsung pada Khamis, peraturan baharu Jurgen Klopp itu bakal diuji seawal tugasan pertamanya.