Jurgen Klopp tidak membuang masa untuk menetapkan jangkaannya sejurus diperkenalkan sebagai ketua jurulatih baharu Jerman.

Bekas pengendali Liverpool itu memberi amaran kepada pihak media dan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) bahawa beliau tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan sekiranya kepercayaan, rasa hormat atau sokongan terhadapnya sudah tiada.

Klopp terus mencuri perhatian sebaik sahaja diperkenalkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu Jerman bagi menggantikan Julian Nagelsmann.

Beliau meluahkan rasa bangga kerana diberi kepercayaan menggalas antara tugas paling berprestij dalam dunia bola sepak.

Amaran Klopp Buat DFB Dan Media

Bagaimanapun, Klopp menegaskan pelantikannya bukan sekadar dinilai berdasarkan keputusan di atas padang. Beliau turut menggariskan standard yang diharapkannya daripada pihak media dan DFB ketika memulakan era baharu bersama skuad kebangsaan Jerman.

“Ini satu penghormatan yang cukup besar dan saya juga dibayar dengan sangat lumayan. Namun, jika suatu hari nanti anda beritahu bahawa anda tidak lagi mahukan saya, saya akan berundur tanpa menuntut sebarang pampasan.”

“Jika DFB berkata, ‘kami tidak mahu meneruskan kerjasama ini’, saya akan pergi. Tetapi jika anda [media] mula melampaui batas dan tidak membiarkan keluarga saya hidup dengan tenang, saya juga akan pergi. Saya mahu perkara itu jelas,” kata Klopp menurut sumber laporan Goal.

“Cuma satu sahaja yang saya minta. Kritiklah saya jika ada perkara yang menjadi atau tidak menjadi.”

“Tidak perlu terlalu memuji saya apabila sesuatu berjalan dengan baik kerana itu memang sepatutnya berlaku. Jika ada yang tidak menjadi, saya sedia memperbaikinya.”

“Apa yang penting, anda perlu percaya bahawa segala yang saya lakukan adalah demi tugas ini. Jurgen Klopp tidak mempunyai kerjaya lain selepas mengendalikan pasukan kebangsaan. Dalam situasi yang ideal, inilah kemuncak dalam kehidupan profesional saya.”

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa saya benar-benar merindui suasana ini. Namun, apabila saya kembali, saya agak terkejut, bukan marah, sekurang-kurangnya belum lagi  melihat begitu banyak perkara tersebar dengan begitu cepat.”

“Jika kita benar-benar mahu bergerak ke arah yang sama, saya berharap semua pihak lebih mengutamakan laporan yang tepat berbanding laporan yang paling pantas,” tambah beliau lagi.

Sumber