Pengendali kelahiran Portugal, Ruben Amorim difahamkan telah menyatakan persetujuan secara lisan untuk menjadi pengganti kepada Jurgen Klopp di Liverpool.
Beliau yang kini merupakan pengurus kelab Liga Primeira Portugal, Sporting CP dilihat mahu menggalas tanggungjawab lebih mencabar selepas ini.
Baca Juga:
- EPL 2023/24: Manchester United, Liverpool Sama Handal Di Old Trafford
- Mikel Arteta: Ia Menyakitkan, Kami Memang Tak Berhak Menang
- Bagaimana ‘The Laptop Guys’ Bantu Liverpool Tamatkan Penantian 30 Tahun
Menurut sumber laporan Goal, pengurus berusia 39 tahun itu dilaporkan bakal memeterai kontrak selama tiga tahun.
Malah, rundingan akhir melibatkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris dan Portugal tersebut sedang berlangsung.
Amorim menjadi calon utama pengganti Klopp selepas bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso yang cemerlang bersama Bayer Leverkusen menyatakan pendirian mahu terus kekal di Jerman.
Mula membimbing Sporting pada 4 Mac 2020, Ruben Amorim membawa kelab tersebut muncul juara Liga Primeira dan Piala Liga 2020/21.
Lebih manis kejayaan turut telah menobatkannya sebagai Pengurus Terbaik Tahunan Liga Primeira 2021.
Musim ini juga menyaksikan Sporting sedang mendahului saingan liga dengan kelebihan empat mata dan turut kekurangan satu perlawanan berbanding pencabar terdekat, Benfica.
Penghujung Januari lalu, Jurgen Klopp mengumumkan bahawa akan meninggalkan kelab yang dikendalikan selama sembilan tahun itu sebaik sahaja tamat musim 2023/24.
Sepanjang bergelar pengurus The Reds, Klopp telah menikmati pelbagai kejuaraan apabila kelab tersebut muncul juara Piala Dunia Kelab 2019, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2018/19, Piala FA 2021/22, Piala Liga 2021/22 dan 2023/24.
Musim ini beliau berpeluang untuk menambah dua lagi piala kerana Liverpool sedang bersaing hebat dalam merebut kejuaraan EPL serta mara ke suku akhir Liga Europa.