Jurulatih pembantu Benin, Tunde Adelakun, meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima pasukannya daripada pemain Argentina selepas perlawanan persahabatan kedua-dua negara.

Menurut Adelakun, perkara yang paling mengecewakannya ialah sikap pemain Argentina yang didakwa langsung tidak mahu berinteraksi dan sombong dengan skuad Benin sebaik sahaja perlawanan berakhir.

Beliau turut mendakwa sesi bersalaman antara kedua-dua pasukan berlangsung secara tergesa-gesa dan tanpa kemesraan, manakala percubaan pemain Benin untuk mendekati individu yang diraikan pada hari tersebut iaitu Lionel Messi, turut dihalang oleh anggota keselamatan.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah keengganan yang begitu jelas dan ketara daripada pasukan Argentina untuk berurusan dengan pasukan saya selepas perlawanan.

“Sesi bersalaman pada penghujung perlawanan berlangsung secara tergesa-gesa dan tanpa sebarang kemesraan.

“Malah, sebarang usaha pemain kami cuba untuk mendekati individu yang mereka datang untuk raikan telah dihalang oleh anggota keselamatan yang bertugas dengan cara yang agak keras dan melayan kami seperti musuh.

“Jelas sekali, mereka secara kolektif tidak mahu berada di tempat yang sama dengan pasukan Benin. Perkara itu agak mengecewakan,” katanya.

Sebelum ini Adelakun turut mengeluarkan kritikan yang hampir sama. Menurutnya pemain-pemain Benin dilayan seperti kayu oleh pemain Argentina.

Pemain-pemain mereka berusha bertukar-tukar jersi dan mendapatkan tandatangan pemain Argentina juga gagal.

Menurutnya lagi, hanya ada 1 sahaja jersi Lionel Messi yang ditandatangani pemain itu. Itupun selepas menunggu sangat lama, setelah pegawai AFA mengambil jersi itu dan dibawa ke bilik persalinan Argentina.

Seterusnya beliau juga mendedahkan bahawa pasukannya menerima berita mengenai perjalanan ke Buenos Aires untuk menentang Argentina hanya beberapa hari sebelum kem latihan dibuka bagi menghadapi dua perlawanan pertama kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027.

Wartawan Romain Molina turut mendedahkan bahawa Benin langsung tidak mendapat sebarang imbuhan daripada perlawanan berbentuk pertunjukan ini.

Mereka tidak mendapat bonus, tidak mendapat pembahagian keuntungan. Tidak ada pertukaran jersi, tidak ada sesi bergambar kenang-kenangan dengan pemain Argentina. Dan dihalang daripada memasuki bilik persalinan Argentina.