Khidmat jurulatih dari Malaysia menjadi pilihan kelab Liga Futsal Profesional Indonesia, Rafhely FC bagi merencana taktikal pasukan dalam menghadapi saingan musim 2024/25.
Individu yang dimaksudkan ialah Qusmaini Noor Rusli, jurulatih yang memiliki pengalaman luas dalam sukan lima sebelah ini.
Baca Juga:
- Atasi KL City, Hanya Jiwa & Mentaliti Menang Tunjang Kekuatan Pemain Gombak TOT United – Qusmaini
- Selangor Muncul Juara Futsal SUKMA 2024
- Faisal Halim Suntik Semangat Skuad Futsal SUKMA Selangor
Perkembangan terkini mengenai pelantikan Qusmaini itu disahkan Rafhely dalam satu pengumuman rasmi di laman Instagram kelab tersebut.
Beliau hadir ke kelab dari Sumatera Barat itu dengan reputasi sebagai antara jurulatih futsal terbaik pernah dimiliki Malaysia pada ketika ini.
Qusmaini juga masih segar dengan kejayaan manis membimbing skuad Selangor dalam membawa pulang pingat emas buat pertama kalinya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos lalu.
Manakala dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 pula meskipun awan mendung melanda skuad bimbingannya iaitu Gombak TOT United ekoran masalah tunggakan gaji, tetapi penerapan taktikal oleh Qusmaini masih mampu memberikan saingan kepada pasukan lebih hebat.
Ia dapat dibuktikan apabila meskipun tanpa gaji dan pilihan pemain yang cukup terhad, Gombak TOT United masih mampu menundukkan Pahang Rangers serta memberikan saingan sengit kepada dua kelab gergasi dan serba lengkap, Johor Darul Ta’zim dan Selangor.
Tugasan mencabar pasti dihadapi Qusmaini bersama Rafhely yang bakal membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Futsal Pro Indonesia untuk menghadapi kelab-kelab lebih berpengalaman seperti Bintang Timur Surabaya, Black Steel Papua, Kancil WHW dan banyak lagi.
Setelah lima kali mencuba, Rafhely akhirnya berjaya lolos ke Liga Pro Indonesia 2024/25 selepas mara ke pentas final Liga Nusantara yang merupakan liga divisyen 2.
Ia nyata bukan tugas mudah kerana hampir 800 pasukan dari seluruh Indonesia beraksi dalam saingan Liga Nusantara dimana hanya dua pasukan sahaja akan layak ke Liga Pro Futsal Indonesia.
Dalam perkembangan lain mengenai Qusmaini, beliau kini sedang mengambil Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Level 3 di Bekasi, Indonesia bersama seorang lagi jurulatih yang tidak asing dari Malaysia iaitu Hasrinizam Hashim dari Pulau Pinang.
Hasrinizam atau juga lebih mesra dengan panggilan ‘Coach Adik’ adalah salah seorang instruktor futsal Level 1 yang diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).