Ketua jurulatih India, Manolo Marquez merasa teruja apabila pasukannya berdepan Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kali ini.
Marquez yang dilantik pada Julai lalu berpendapat Malaysia adalah satu pasukan yang baik dan berazam untuk menamatkan kemarau 11 tanpa sebarang kemenangan apabila turun menentang skuad bimbingan Pau Marti.
Baca Juga:
- Harimau Malaya Terbang Ke India Tanpa Arif Aiman, Matthew Davies & Feroz
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Menang 3-1 Ke Atas Laos
- ‘Ramai Individu Tidak Layak Berada Dalam Industri’ – Tunku Ismail
“Ia bukanlah soal ranking kerana India dan Malaysia tidak jauh. Menentang pasukan yang setanding dengan kita seperti Malaysia boleh membantu kita untuk mengenal pasti setiap kekuatan dan kelemahan pasukan.
“Perlawanan persahabatan tetapi aksi seperti ini bagus untuk mengukur kemampuan kita dengan turun menentang pasukan terbaik dalam Balang 2 (Kelayakan Piala Asia 2027).
“Kita (India) mahukan kemenangan selepas sudah lama tidak memperolehinya. Saya lebih gemar memenangi aksi sebenar (bukan persahabatan) tetapi kami mahu menunjukkan penambahbaikan yang sudah dilakukan,” katanya.
Pasukan negara berjaya menewaskan Laos dalam perlawanan persahabatan sebelum ini yang mana Malaysia mencatat kemenangan 3-1 menerusi jaringan Harith Haiqal, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero.
Akan tetapi, skuad Harimau Malaya akan turun tanpa khidmat Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman.

Menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, trio JDT itu diberikan pelepasan setelah kelab gergasi tanah air itu membuat permohonan.
“Daripada 26 pemain yang bersama skuad Harimau Malaya ke Bangkok, Thailand bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pertama menentang Laos pada Khamis, 14 November 2024, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin, 18 November 2024.
“Ini kerana tiga pemain iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi telah pun dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Ia susulan jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu.
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai skuad 23 pemain Harimau Malaya untuk terbang ke Hyderabad dari Bangkok,” kata FAM.