Ketua jurulatih Jordan, Hussein Ammouta menganggap Malaysia sebagai satu lawan yang sukar menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi kumpulan E temasya Piala Asia 2023 Qatar pada awal pagi nanti.
Di atas kertas, Jordan merupakan pasukan pilihan untuk mencatat kemenangan kerana mereka berada di ranking FIFA yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Iran Sukar Digugat Palestin
- Jepun vs Vietnam: Samurai Blue Cemas Sebelum Tewaskan Wakil Asean
- Ini Sasaran Datuk Hamidin Untuk Malaysia Di Piala Asia 2023
Akan tetapi, Ammouta berpendapat Malaysia sudah banyak berubah sejak kali terakhir dua pasukan itu bertemu dan keputusan pada perlawanan lepas tidak boleh dijadikan ukuran.
“Fokus kami ialah pada masa sekarang. Banyak pasukan yang semakin bagus, termasuk Malaysia. Kami menghormati pasukan lawan dan sedar tentang perkembangan mereka.
“Walaupun Jordan mencatat dua kemenangan ke atas Malaysia, kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar. Untuk itu, kami sudah bersedia,” katanya.
Jordan pernah menewaskan pasukan negara dengan keputusan 4-0 dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada September 2021. Sebelumnya, pasukan negara juga tewas dengan keputusan 1-0 pada 2019.
Ammouta menambah persiapan pasukannya berjalan dengan cukup baik dan anak-anak buahnya sudah tidak sabar untuk memulakan saingan kumpulan E.
Kami sudah bersedia untuk bertemu Malaysia. Kami mempunyai kem latihan yang baik dan aksi pemanas badan yang membuahkan hasil. Pemain tidak sabar untuk memberikan senyuman kepada para peminat,” tambahnya.
Jordan diperkuatkan oleh beberapa bekas pemain dan pemain yang ketika ini beraksi dalam saingan Liga Malaysia seperti Yazan Al-Arab, Mahmoud Al-Mardi, Noor Al-Rawabdeh (Selangor) serta Fadi Awad (PDRM).
Keempat-empat pemain di atas mengenali pemain negara yang pernah dihadapi mereka dalam saingan Liga Malaysia sekaligus memberi kelebihan pasukan pasukan Jordan.