Pasukan Jepun perlu berdepan dengan detik cemas sebelum mereka menewaskan salah satu wakil Asia Tenggara iaitu Vietnam pada perlawanan pembukaan kumpulan D temasya Piala Asia 2023 Qatar baru-baru ini.

Ramai yang menjangkakan Jepun tidak akan berdepan masalah apabila turun berdepan Vietnam lebih-lebih lagi pasukan lawan menggunakan kebanyakan pemain skuad B-23 Tahun.

Naib juara edisi 2019 itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Takumi Minamino pada minit ke-10 dimana beliau melakukan percubaan selepas penjaga gol Vietnam, Filip Nguyen gagal mengeluarkan bola hasil dari sepakan penjuru.

Akan tetapi skuad bimbingan Philippe Troussier tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila pemain berusia 19 tahun, Nguyen Dinh Bac melakukan tandukan yang gagal diselamatkan oleh Zion Suzuki.

Vietnam kemudiannya menjaringkan gol kedua menerusi Pham Tuan Hai pada minir ke-34 dimana pemain itu memanfaatkan kesilapan Suzuki yang gagal mengeluarkan bola.

Tersentak dengan gol pendahuluan Vietnam, pemain skuad Samurai Blue memperkemaskan lagi permainan dan hasilnha Minamino menjaringkan gol kedua peribadi dimana pemain yang beraksi di Perancis itu mudah melakukan rembatan dalam kawasan penalti lawan.

Sebelum rehat separuh masa pertama, Keito Nakamura menjaringkan gol ketiga bagi Jepun sekaligus memastikan mereka berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, Vietnam cuba untuk mencari gol penyamaan namun skuad bimbingan Hajime Moriyasu tampil lebih kemas dimana mereka mudah untuk mematahkan gerakan serangan lawan.

Jepun menjaringkan gol keempat pada minit ke-85 menerusi pemain gantian iaitu Ayase Ueda dimana rembatan beliau terkena kaki pertahanan lawan sekaligus gagal diselamatkan oleh Filip Nguyen.

Kemenangan ini meletakkan Jepun di tangga pertama dalam kumpulan D sambil diikuti oleh Iraq dan Indonesia yang akan turun menentang sesama sendiri pada esok.