Kapten Harimau Malaya, Matthew Davies menegaskan pasukan lawan lebih tertekan berbanding Malaysia menjelang aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Jordan esok.

Malah, beliau juga mendedahkan para pemain tidak sabar turun beraksi dan menikmati perlawanan kerana sudah lama Malaysia tidak menyertai kejohanan besar seperti Piala Asia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malaysia berada di ranking lebih rendah berbanding lawan mereka dalam kumpulan E namun itu sebenarnya membantu pemain turun tanpa sebarang tekanan.

“Ianya sesuatu yang positif kepada kami kerana tiada langsung tekanan. Pasukan lawan lebih tertekan. Kami datang ke sini untuk menikmati, belajar dan bermain bola sepak. Kami berada di ranking lebih rendah dalam kumpulan E,” kata Davies dalam sidang media.

FOTO: FAM

Bagaimanapun, Davies juga mahu para penyokong bersikap realistik namun mereka yakin dapat bersaing dengan Jordan berdasarkan persiapan yang telah dilakukan termasuk aksi persahabatan menentang Syria.

“Ini saat yang baik untuk mengingatkan penyokong mengenai kedudukan ranking dan bersikap realistik. Kami datang selaku ‘underdog’ dalam kejohanan ini.

“Tetapi dengan skuad yang  sedia ada dibawah kendalian jurulatih Kim Pan Gon, kami mampu bersaing menentang lawan yang kuat. Kami yakin tetapi penyokong mesti bersikap realistik juga,” jelas Davies.

Jordan memiliki beberapa pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia antaranya ialah Yazan Al Arab serta Noor Rawabdeh (Selangor), Fadi Awad (PDRM FC) dan juga bekas pemain Kedah, Mahmoud Al Mardi.

Dua penyerang yang perlu dirantai oleh benteng pertahanan Harimau Malaya iaitu Mousa Al Tamari dan Ali Olwan.

“Mereka ada ramai pemain yang berkualiti tetapi kami tidak boleh fokus untuk merantai satu atau dua pemain.

“Mereka juga ada beberapa pemain yang beraksi di Liga Malaysia, oleh itu kami tahu apa yang mereka mampu lakukan,” tambah Davies.

Selepas menentang Jordan, Malaysia bakal berdepan dua lagi lawan sukar iaitu Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari). Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati bersama 4 lagi pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan.