Seorang jurutera warga China yang sebelum ini tular selepas didakwa meninggalkan anaknya berhampiran Plaza Tol Nilai, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu kepada risiko kecederaan fizikal.

Tertuduh, Jiao Bo, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin M Kunasundary, di Seremban hari ini.

Mengikut pertuduhan, Jiao didakwa mendedahkan kanak-kanak berkenaan kepada keadaan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada jam 1.21 tengah hari di susur keluar Plaza Tol Nilai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khairiah Abdul Razak, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan berkenaan serius, lebih-lebih lagi tertuduh merupakan bapa kepada mangsa.

Mahkamah dimaklumkan bahawa kanak-kanak terbabit kini berada di bawah jagaan ibunya.

Bagaimanapun, peguam Shahmi Iffah Mohd Arshad memohon agar tertuduh diberikan jaminan minimum kerana anak guamnya merupakan sumber pendapatan tunggal keluarga.

Menurut peguam, Jiao sudah menetap di Malaysia selama 10 tahun bersama isteri dan dua anaknya yang masing-masing berusia 12 dan lapan tahun. Dia bekerja sebagai jurutera dengan pas pekerja yang ditaja syarikat.

Pihak pembelaan turut memaklumkan bahawa tertuduh menguruskan urusan keluarga termasuk perbankan dan persekolahan anak-anak. Dia juga tidak mempunyai rekod kesalahan sebelum ini sama ada di Malaysia mahupun China.

Peguam berkenaan turut mendakwa penahanan Jiao memberikan tekanan emosi kepada isteri dan anak-anaknya menurut laporan Buletin TV3.

Jiao juga bersedia tinggal berasingan daripada rumah keluarganya di Cheras bagi mengelakkan sebarang ancaman terhadap keselamatan anak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia berusia 21 tahun ke atas.

Antara syarat tambahan yang dikenakan ialah tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember depan bagi mendapatkan laporan forensik.

Sebelum ini, video memaparkan seorang lelaki warga China dipercayai meninggalkan anaknya berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, sebelum ini dilaporkan berkata kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara dua beradik di dalam kereta sehingga menyebabkan bapa mereka berang dan bertindak meninggalkan salah seorang daripada mereka sebagai pengajaran.