Pertahanan tengah skuad bawah 21 (B-21) tahun Wolverhampton Wanderers, Justin Hubner akan berkelana ke Jepun selepas diumumkan sebagai pemain baharu Cerezo Osaka.

Hubner yang merupakan tonggak skuad kebangsaan Indonesia di Piala Asia 2023 tempoh hari diikat sebagai pemain pinjaman buat kelab Liga Jepun (J1 League) itu.

Baca Juga:

Perkembangan terkini kehadiran Hubner itu disahkan Cerezo Osaka menerusi pengumuman rasmi di laman sesawang rasmi kelab tersebut sebentar tadi.

“Cerezo Osaka mengumumkan bahawa Justin Hubner menyertai Cerezo Osaka secara pinjaman semusim daripada Wolverhampton Wanderers FC. Kontrak akan ditandatangani secara rasmi selepas visa diperoleh.”

“Pemain itu telah terpilih untuk mewakili Indonesia dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026. Tempoh panggilan tersebut adalah dari 17 hingga 27 Mac dan dia akan menyertai pasukan selepas selesai tugasan pasukan kebangsaan.”

Lahir di Den Bosch, Belanda, Justin Hubner mendapat kerakyatan Indonesia pada 6 Disember 2023 berikutan datuknya, Ferdinand Rudolf Hubner yang berdarah Indonesia.

Beliau beraksi cemerlang bersama Indonesia sewaktu kempen di Qatar tersebut hingga menyaksikan skuad bimbingan Shin Tae-yong itu mara ke pusingan 16.

Ketika bersama skuad bawah umur di Wolves pula, Hubner yang boleh beraksi sebagai pertahanan tengah dan bek kiri itu memainkan peranan penting membantu skuad B-21 mara ke separuh akhir Piala FA Remaja 2021/22.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Transfermarkt, beliau membuat 47 penampilan bersama skuad B-21 Wolves dan berupaya menjaringkan empat gol dan mencipta dua bantuan jaringan sejak musim 2020/21.

 

Sumber