Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mendedahkan terdapat syarikat pengangkutan di daerah tersebut yang mempunyai 160 lori dikesan menggunakan kad Touch n Go (TNG) yang dipercayai digodam untuk membayar tol sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, kad TNG tersebut adalah asli. Kemudian seorang lelaki memasukkan nilai sehingga RM300 sebelum menjualnya kepada syarikat berkenaan pada kadar RM150 ke RM200 sekeping, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Susulan aduan pihak TNG, seorang lelaki warga tempatan dan isterinya seorang wanita warga China ditahan di daerah ini, pada 9 September lalu.

160 Lori Dikesan Guna Kad TNG 'Hack', Dimasukkan RM300 Secara Haram
Sumber Gambar: Facebook Polis Negeri Sembilan

“Pada 18 Julai lalu pihak TnG mengenalpasti tiada keseimbangan hasil kutipan dan tuntutan daripada beberapa plaza tol sebelum menjalankan siasatan dan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) plaza tol terbabit.

“Beberapa lori milik sebuah syarikat dipercayai melakukan transaksi tidak sah. Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Seremban membuat serbuan di sebuah syarikat di daerah ini,” katanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Pada masa sama tiga telefon bimbit, 304 kad TNG, seunit CVTV dan wang tunai berjumlah RM400,000 turut dirampas.

“Hasil siasatan awal mendapati kad TNG digodam dengan tambah nilai tidak sah untuk kegunaan syarikat bagi mengelak membayar kos tol sepanjang perjalanan lori syarikat,” katanya.

Penggodam kad TNG masih bebas
160 Lori Dikesan Guna Kad TNG 'Hack', Dimasukkan RM300 Secara Haram
Sumber Gambar: Facebook Polis Negeri Sembilan

Memetik laporan itu lagi, lelaki tempatan yang mengodam kad TNG masih bebas.

Suspek membeli kad TNG asli, kemudian menggodam menggunakan dua perisian khas oleh lelaki berkenaan.

Pihak polis turut tidak menafikan ada kemungkinan suspek mungkin menjual kad tersebut kepada pihak lain juga.

“Sebanyak 213 kad disahkan pihak TNG dengan jumlah kerugian mencecah RM59,920 bagi Julai dan Ogos akibat syarikat ini sahaja, namun masih terdapat kerugian lain yang sedang disiasat,” katanya.

Datuk Alzafny berkata, pihaknya sedang memburu pembekal kad berkenaan. Manakala dua suspek direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 September bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis mengingatkan kepada orang awam sebarang penggunaan kad TNG yang digodam adalah salah di sisi undang-undang.

“Ini adalah kes kedua seumpama ini di negara ini,” katanya.

Sumber