Penyakit obesiti merupakan salah satu masalah kesihatan utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Pada masa sama penyakit tersebut sering dikaitkan dengan pengambilan gula yang berlebihan sama ada dalam makanan mahupun minuman.

Baru-baru ini kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar cukai minuman bergula (SSB) sebagai satu usaha dalam membendung penyakit berkaitan gula dengan lebih berkesan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kadar kenaikkan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada bulan hadapan.

Menurutnya, kenaikkan 50 sen kadar cukai ke atas minuman bergula sebelum ini telah mencapai sasarannya.

“Pada Januari kita dapat bukti bahawa pengurangan sebanyak 9%. Itu menunjukkan keberkesanan program kami,” kata Dr Dzulkefly dalam satu temu ramah.

Melihat respon-respon yang dikongsikan orang ramai, didapati ramai yang menyokong tindakan tersebut. Pada masa sama ada yang menolak keberkesanannya.

Ada warganet menyamakan langkah itu hampir menyamai negara Korea yang mengenakan cukai bagi makanan ringan (junk food) untuk memastikan rakyat mereka lebih memilih makanan lebih sehat.

Pada masa sama, ada mendakwa penyakit diabetes bukan disebabkan minuman manis semata-mata sahaja. Sebaliknya ia turut berpunca daripada pengambilan makanan karbohidrat berlebihan.

Dalam pada itu, ada warganet meluah rasa kebimbangan sekiranya harga barangan lain akan turut meningkat sama selepas kenaikkan cukai SSB dilaksanakan kelak.

Orang ramai turut bercadang agar makanan dan minuman berkhasiat diturunkan harganya. Ini kerana harga untuk makanan minuman yang tidak menyihatkan tubuh badan jauh lebih murah.