Bayangkan sebuah negara kecil di kepulauan Caribbean yang hanya mempunyai populasi sekitar 158,000 penduduk melangkah megah ke pentas bola sepak terbesar dunia.
Itulah detik bersejarah yang dilakar oleh pasukan kebangsaan Curaçao apabila mereka tampil membuat debut di Piala Dunia FIFA menentang juara dunia empat kali, Jerman, di Houston.
Walaupun keputusan akhir mencatatkan kekalahan 7-1 buat Curaçao, apa yang dipamerkan oleh pasukan yang digelar Blue Wave (Gelombang Biru) ini jauh dari istilah mengecewakan.
Malah, selama 37 minit pertama perlawanan, mereka berjaya memberikan saingan sengit dan mengimbangi asakan gergasi Eropah tersebut.
Detik Magis di Minit ke-21
Stadium bergema dengan sorakan luar biasa apabila Curaçao menjaringkan gol pertama mereka di kejohanan ini. Pada minit ke-21, menerusi satu rembatan kaki kiri yang menembusi kesesakan di dalam kotak penalti, Livano Comenencia berjaya menyamakan kedudukan 1-1.
Ini cukup memberikan keyakinan awal kepada pasukan dan harapan bahawa mereka mungkin mampu melakar satu kejutan besar.
Pemain sayap Curaçao, Kenji Gorré, menceritakan detik tersebut dengan penuh semangat. “Gol tersebut benar-benar luar biasa bagi kami semua, dan juga untuk negara kami,” kongsi Gorré.
“Ini adalah satu lagi sejarah yang dilakar. Gol pertama yang dijaringkan di pentas dunia, ia sesuatu yang menakjubkan dan kami semua bersyukur dapat merasai pengalaman ini bersama semua penonton di stadium”.
Pertembungan Dua Realiti
Namun, realiti berhadapan dengan kuasa besar bola sepak mula terasa selepas itu. Jerman memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-38 dan terus mendominasi permainan sehingga wisel penamat.
Perbezaan gol ini merupakan yang terbesar bagi sebuah negara yang baru pertama kali menyertai Piala Dunia, sejak Korea Selatan tewas 9-0 kepada Hungary pada edisi 1954.
Memetik laporan ESPN, walaupun dibolosi dengan jaringan yang besar, jurulatih Curaçao, Dick Advocaat, kekal tenang dan menyuntik semangat positif. “Ini bukanlah satu aib,” tegas pengendali veteran itu. “Saya rasa kami masih boleh berbangga”.
Pada usia 78 tahun, Advocaat secara rasminya menjadi jurulatih tertua yang pernah mengendalikan perlawanan Piala Dunia, berdepan dengan jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann yang merupakan jurulatih termuda di kejohanan tahun ini pada usia 38 tahun.
Emosi Advocaat jelas terserlah apabila dia menitiskan air mata kegembiraan sebelum perlawanan bermula demi meraikan pencapaian bersejarah pasukannya.
“Ini berkaitan dengan kegembiraan rakyat di Curaçao,” jelas Advocaat. “Mungkin kerana faktor usia saya, emosi ini mudah terserlah. Saya sebenarnya tidak begitu suka (menangis)… tetapi kegembiraan rakyat kami sangat hebat”.
Jurulatih muda Jerman, Nagelsmann, turut terpesona dengan semangat juang lawan mereka. “Lawan bermain lebih baik daripada yang dijangkakan oleh ramai pihak di Jerman,” puji Nagelsmann. “Mereka bermain dengan penuh keberanian”.
Melangkah ke Hadapan
Sudah pasti, perasaan para pemain bercampur baur selepas perlawanan tamat. Seperti yang diakui secara jujur oleh Gorré, ada sedikit kekecewaan di sebalik kebanggaan tersebut.
“Perasaan kami bercampur baur. Di satu sisi anda terfikir, ‘Wow, kita dah cipta sejarah dengan datang ke Piala Dunia.’ Tapi di sisi lain, ‘Wow, harapnya kita dapat kutip sedikit mata,'” ujar Gorré.
“Tetapi kami bermain dengan pasukan terbaik dunia, dan pasukan terbaik dunia akan menghukum setiap peluang dan kesilapan yang kita lakukan sebanyak tujuh kali”.
Kini, berbekalkan pengalaman berharga dan keberanian yang telah dipamerkan, Curaçao mengalihkan tumpuan penuh kepada perlawanan seterusnya menentang Ecuador di Kansas City pada hari Sabtu.
Mesej Advocaat buat anak buahnya kekal jelas dan penuh motivasi: “Kami masih mempunyai perlawanan yang perlu diharungi dan segalanya masih boleh berubah”.
Perjalanan berani negara kecil ini baru sahaja bermula, dan mereka telah membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar tentang keputusan, tetapi juga soal keberanian menyahut cabaran di pentas antarabangsa.