Wayne Rooney terpaksa menelan hakikat dipecat kelab saingan EFL Championship, Plymouth Argyle selepas skuad kendaliannya gagal mencatatkan kemenangan pada sembilan aksi terakhir liga.

Mula membimbing pasukan pada 25 Mei 2024 dan mengharungi 23 perlawanan liga, magis Rooney tidak dapat diterjemahkan dengan baik apabila Plymouth hanya mampu mencatatkan empat kemenangan, enam keputusan seri dan 13 kekalahan.

Baca Juga:

Keadaan yang meletakkan pasukannya di tangga terbawah liga dengan 18 mata, dua mata di belakang Portsmouth.

Plymouth dibelasah 0-4 ketika berdepan Coventry City yang baharu sahaja melantik Frank Lampard dan berselang tiga hari kemudian, mereka tunduk 0-2 kepada Oxford United.

Kekalahan yang sekali gus memaksa Rooney bersama-sama pembantunya iaitu Mike Phelan dan Stephen Ireland meninggalkan Home Park dengan penuh kekecewaan.

Keadaan terkini itu menyaksikan Wayne Rooney masih belum mampu untuk membuktikan kredibiliti sebagai seorang pengurus yang baik.

Perjalanannya dalam membimbing Derby County, D.C United dan Birmingham City sebelum ini juga kesemuanya kurang daripada dua tahun.

Reputasi tersebut akan menyukarkan lagi peluang beliau sekiranya berangan-angan mahu mengisi jawatan mencabar dalam membimbing pasukan lamanya seperti Manchester United dan Everton.

Selepas ketiadaan Rooney dan barisan kejurulatihannya, Plymouth akan mengharungi tugas berat untuk mengelakkan zon penyingkiran dengan Kevin Nancekivell akan bertindak selaku pengendali sementara sambil dibantu ketua pasukan, Joe Edwards.

Plymouth Argyle akan menanti kunjungan Bristol City untuk perlawanan ke-24 liga dimana lawan mereka itu berada di kedudukan ke-10 liga.