Seorang pekerja restoran di Tokyo, Jepun baru-baru ini mendakwa mereka terpaksa membuang 25 set nasi lemak ekoran ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan secara tiba-tiba tanpa memaklumkan semula kepada mereka.
Insiden itu telah didedahkan oleh seorang pekerja bernama Sou Tanaka menerusi satu hantaran di platform Facebook.
Akibat daripada insiden itu, restoran terbabit terpaksa membuang begitu sahaja set nasi lemak untuk 25 orang setelah menunggu lama tanpa sebarang khabar berita.
Lebih teruk lagi, pihak restoran mendakwa insiden itu juga mengakibatkan kerugian buat mereka kerana terpaksa menolak pelanggan yang hadir ketika jadual tempahan mereka semakin hampir.
Ekoran kecewa dengan insiden yang terjadi, pekerja terbabit turut mendedahkan identiti pemandu pelancong dan maklumat syarikat pelancongan.
Hantaran tersebut ternyata meraih perhatian netizen Malaysia, yang mana rata-ratanya membidas tindakan ejen pelancongan terbabit kerana dilihat telah mencalar imej Malaysia di mata Jepun.
Susulan ramai netizen mengecam tindakan mereka di media sosial mereka, ejen pelancongan terbabit yang dikenali sebagai Kampungstay Holiday Sdn. Bhd tampil memberi penjelasan berhubung insiden itu.
“Maaf semua di atas kecelaruan. Kronologi pukul 11 pagi, pihak KH (Kampungstay Holiday) menelefon restoran untuk melakukan ‘survey’ restoran bersesuaian dengan trip yang disertai 90 peratus warga emas maksimum usia 72 tahun.
“KH menelefon tiga restoran berdekatan di bandar Shibuya. Waktu itu kami masih membawa kumpulan berjalan di sekitar Asakusa sehingga jam 1.40 tengah hari. Agak terlewat dari masa makan disebabkan pergerakan warga emas yang agak terhad.
“Berkaitan Malay Asian Cuisine, kami menelefon mereka untuk mendapatkan info sama ada di tempat mereka boleh menampung tempat duduk sebanyak 25 orang atau tidak. Mereka menjawab ‘ya’.
“Pihak kami memaklumkan kepada mereka jika kami jadi untuk ke sana, kami akan telefon dan pihak kami ada meninggalkan nombor telefon kami. Kami memilih untuk makan tengah hari di tengah bandar Shibuya,” katanya.
Kampungstay Holiday Sdn. Bhd. turut memberitahu, mereka mengambil keputusan untuk makan di tempat tidak jauh dari tempat mereka berhenti berikutan ada dalam kalangan peserta tidak mampu berjalan jauh di samping menggunakan tongkat.
Dalam pada itu, pihak KH juga memaklumkan memberi alasan sebab tidak dapat menghubungi semula pekerja restoran itu adalah kerana mereka sedang mengendali peserta berusia di tengah-tengah bandar Shibuya yang sesak jadi tidak dapat melihat telefon.