Tuan rumah, Kanada terus menghidupkan impian di pentas Piala Dunia 2026 apabila melakar kemenangan dramatik 1-0 ke atas Afrika Selatan menerusi jaringan masa kecederaan Stephen Eustaquio, sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah negara itu.

Aksi pusingan kalah mati yang berlangsung di Los Angeles itu tampak bakal berlanjutan ke masa tambahan apabila kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 90 minit permainan. Namun, Eustaquio muncul wira Kanada apabila meledak rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-92 untuk memastikan kemenangan bersejarah buat skuad kendalian Jesse Marsch.

Kanada yang gagal muncul juara kumpulan kini bakal membuat perhitungan dengan pemenang antara Belanda atau Maghribi di Houston pada 4 Julai bagi merebut tempat ke suku akhir.

Kanada menguasai permainan sejak wisel permulaan dengan beberapa peluang berbahaya, namun ketumpulan penyudah menyebabkan mereka buntu.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-22 apabila sepakan percuma Eustaquio menemui Derek Cornelius yang tidak dikawal di hadapan gol, tetapi tandukannya tersasar.

Menjelang tamat babak pertama, Kanada sekali lagi hampir membuka jaringan apabila tandukan Moise Bombito dikeluarkan di atas garisan gol sebelum Ronwen Williams bertindak cemerlang menafikan percubaan susulan Tajon Buchanan.

Afrika Selatan pula lebih banyak bergantung kepada serangan balas, namun gagal benar-benar menguji benteng Kanada.

Selepas sejam permainan, Kanada terus menggandakan tekanan. Tani Oluwaseyi hampir meletakkan pasukannya di hadapan, namun percubaannya diselamatkan Williams sebelum Mbekezeli Mbokazi bertindak pantas mengeluarkan bola daripada bahaya.

Alphonso Davies akhirnya dimasukkan pada minit ke-75 selepas pulih daripada kecederaan hamstring. Kehadirannya segera mengubah rentak serangan Kanada apabila beberapa gerakannya berjaya mencipta peluang buat Jonathan David dan Promise David, namun kedua-duanya gagal menemui penyudah.

Ketika perlawanan seolah-olah bakal diheret ke masa tambahan, Kanada akhirnya menemui gol kemenangan.

Pada minit kedua masa kecederaan, Jacob Shaffelburg melakukan larian pantas di sebelah kanan sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti. Bola yang ditanduk keluar pertahanan Afrika Selatan singgah kepada Stephen Eustaquio yang mengawal kemas sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru bawah gawang lawan.

Jaringan itu mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan pemain dan penyokong Kanada, sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu di Piala Dunia.

Kini, Kanada hanya selangkah lagi untuk mencipta satu lagi sejarah apabila bakal berdepan Belanda atau Maghribi bagi merebut tempat ke suku akhir.