Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Azizah Zain menyatakan trend kanak-kanak sekolah rendah di bandar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan utama perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, meskipun penguasaan bahasa Inggeris penting, namun kedudukan bahasa Melayu tidak boleh diketepikan sama sekali, petik perkongsiannya di Harian Metro.

Baca Juga:

“Sebagai pendidik, saya berpendapat fenomena ini perlu dipandang dengan berhati-hati. Memang betul bahasa Inggeris penting, tetapi apabila ia menjadi bahasa utama dalam komunikasi harian, kita perlu bertanya, adakah ini menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, ia adalah wadah jati diri bangsa kita kerana kanak-kanak yang lebih selesa berbahasa Inggeris mungkin kehilangan nuansa budaya dan nilai-nilai yang terkandung dalam bahasa Melayu,” katanya kepada Harian Metro.

Jelasnya lagi, amatlah penting bagi kanak-kanak mengetahui hierarki bahasa.

“Dari segi kognitif, penguasaan dua bahasa memang bermanfaat namun perlu diingat bahawa hierarki bahasa itu penting.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi asas yang kuat terlebih dahulu sebelum kanak-kanak menguasai bahasa kedua,” katanya.

Sekiranya bahasa Inggeris menjadi dominan terlalu awal, kanak-kanak berisiko tidak membangunkan kemahiran berfikir dalam bahasa Melayu secara mendalam.

“Keadaan itu boleh menjejaskan pemahaman terhadap konsep yang hanya boleh dihayati melalui bahasa ibunda,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, kesan positif memang ada seperti keyakinan komunikasi global, namun risiko besar tetap wujud.

“Memang ada kesan positif, keyakinan dalam komunikasi global, akses kepada maklumat, peluang pekerjaan.

“Saya percaya kanak-kanak yang kukuh dalam bahasa Melayu kemudian menguasai bahasa Inggeris akan lebih berkesan berbanding mereka yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama sejak kecil,” katanya.

Sehubungan itu, Azizah mencadangkan ibu bapa supaya mengamalkan formula khusus dalam mendidik anak-anak di rumah.

“Ajar anak berfikir dalam bahasa Melayu, perkenalkan kekayaan sastera Melayu seperti pantun, syair, dan cerita rakyat kerana itu akan menunjukkan keindahan dan kekayaan bahasa Melayu,” katanya.

Katanya, sekolah juga perlu menegaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama

Sementara bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran tambahan sahaja.

Sumber